‘Saya tidak fikir raya, janji selamat’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak fikir raya, janji selamat’

MOHD. Haffiz Ahmad menyampaikan sumbangan dari Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru kepada Phoon Choi Yoong Abdullah (kanan) dan Puasa Bero (dua dari kanan) di PPS SK Bukit Mutiara, Johor Bahru, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Saya tidak fikir raya, janji selamat”. Demikian luahan seorang mangsa banjir, Phoon Choi Yoong Abdullah, 75, yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara selepas rumahnya di Kampung Pasir Tebrau, di sini ditenggelami air akibat hujan lebat berterusan dan limpahan Sungai Tebrau sejak dua hari lalu.

Dia yang tinggal bersama dua cucunya hanya mampu melihat air deras melimpah tanpa sempat menyelamatkan barang berharga.

“Saya amat terkejut dan panik. Anak saya pula sedang berpantang selepas bersalin. Sebaik air mula naik, saya terus minta mereka berpindah ke rumah anak saya yang seorang lagi di PPR Taman Desa Mutiara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Banjir yang melanda kampung itu disifatkan penduduk sebagai yang terburuk, apatah lagi berlaku dalam bulan Ramadan.

Seorang lagi mangsa, Puasa Bero, 63, berkongsi detik cemas apabila air mula naik secara mendadak kira-kira pukul 4 petang kelmarin ketika dia sedang memasak juadah untuk berbuka puasa.

“Air naik sangat laju, saya dan suami serta dua anak tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Kami kelam-kabut mencari jalan keluar sebelum air menenggelamkan rumah hingga paras bumbung,” katanya.

Katanya, sejak mendiami kampung tersebut lebih 50 tahun lalu, ini kali pertama kawasan itu dilanda banjir besar dalam bulan Ramadan.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad yang melawat PPS berkenaan turut menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN