KLANG: Masak untuk berbuka dan sahur sepanjang Ramadan di tapak garaj. Demikian cabaran berpuasa diharungi sepasang suami isteri warga emas apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pada awal Februari lalu.
Malah, mereka mungkin terpaksa menyambut Syawal dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa berbanding sebelum ini kerana tapak garaj tersebut hanya ditutup kain kanvas sebagai dinding dan pintu.
Menurut Hashim Sapap, 66, kejadian 8 Februari lalu berlaku ketika dia sedang berehat pada pukul 11.30 pagi apabila litar pintas berlaku di bahagian depan dan memusnahkan keseluruhan rumahnya dalam tempoh 10 minit.
“Banyak belanja, RM400,000 saya rugi akibat kebakaran. Ia berlaku dengan pantas hingga tiada apa yang dapat diselamatkan.
“Kini saya dan isteri, Siti Jamnah Mohd.Salleh, 62, berlindung di tapak garaj rumah kami sebagai tempat tinggal. Saya gunakan kain kanvas sebagai dinding untuk dijadikan tempat berlindung,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Sungai Udang.
Jelasnya, dia pernah memohon bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan untuk membina semula rumah di atas tapak tersebut, tetapi hampa kerana permohonan gagal hanya kerana alasan tanah berkenaan masih milik arwah ibunya.
“Semua permohonan saya buat termasuk Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) dan Rumah Mesra Rakyat, tetapi amat mengecewakan. Saya buntu, akhirnya dengan kudrat tua ini saya bina sendiri sedikit demi sedikit rumah baharu,” katanya. – UTUSAN










