KOTA BHARU: Pernikahan bawah umur disebabkan masalah keluarga, kemiskinan dan terlanjur, banyak mengundang risiko termasuk perceraian ekoran tiada kematangan dan persefahaman dalam melayari bahtera rumah tangga.
Ia terbukti hasil temubual Utusan Malaysia dengan beberapa wanita muda di Kelantan yang antaranya berkahwin pada usia 16 tahun namun, menemui kegagalan selepas lima tahun bernikah dengan pasangan berusia dua atau tiga tahun lebih tua daripada mereka
Seorang wanita muda yang ditemui, Bella, 21, mengakui ketika wanita seusianya masih menyambung pengajian di menara gading atau sibuk dengan gajet, dia mempunyai tanggungjawab cukup besar, perlu membesarkan tiga anak yang masih kecil selepas bercerai dengan suaminya.
“Ketika ini kami dalam proses bercerai. Saya berkahwin semasa berusia 16 tahun selepas hanya bersekolah sehingga tingkatan dua kerana mempunyai masalah keluarga.
“Perkahwinan saya dan suami diuruskan sepenuhnya oleh mentua yang mempunyai hubungan keluarga. Sebagai seorang wanita, sudah semestinya saya mahu perkahwinan ini kekal hingga akhir hayat. Namun, apakan daya ia hanya bertahan selama lima tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bella berkata, dia sepatutnya menamatkan pelajaran di bangku sekolah terlebih dahulu dan membina kehidupan lebih baik sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.
“Namun sebaliknya berlaku, masa tidak boleh diundur. Hendak menyesal sekarang pun tiada guna.
“Jadi, saya anggap apa yang berlaku ini sebagai sebahagian daripada takdir,” ujarnya.
Katanya, berkahwin di usia muda banyak cabaran yang menuntut seseorang itu perlu mempunyai mental kuat dan tidak mudah ‘koyak’ serta tenang dalam membuat setiap keputusan.
Katanya, setiap keputusan yang diambil meninggalkan kesan baik dan buruk kepada rumah tangga.
Sementara itu, Norfaziera Muda, 27, mengakui banyak cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi oleh pasangan berkahwin muda namun sifat torelansi dan bertolak-ansur merupakan solusi terbaik dalam mengharungi gelora rumah tangga.
“Sebelum berkahwin, saya belajar di sebuah sekolah pondok di Tumpat semasa berusia 12 tahun hingga 17 tahun. Saya mengenali suami semasa pulang ke kampung di Terengganu sekitar 2015 dan ketika itu dia menyewa berhampiran kawasan rumah ibu bapa.
“Selepas berkenalan dalam tempoh yang singkat, kami kemudian memilih mendirikan rumah tangga pada Julai 2015. Dua tahun kemudian, saya berpindah ke Kampung Pauh Lima, Bachok dan membuka sebuah spa,” ujarnya.
Norfaziera berkata, hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan tiga cahaya mata perempuan berusia sembilan bulan, empat dan tujuh tahun.
“Ibu saya turut berkahwin muda pada usia 16 tahun. Alhamdulillah, perkahwinan ibu dan ayah (Muda Abdullah) kekal hingga kini.
“Selain itu, tiga kakak saya turut berkahwin ketika usia 16 tahun dan masing-masing dikurniakan anak. Alhamdulillah, semuanya kekal bahagia,” katanya. – UTUSAN










