JOHOR BAHRU: Rakyat Singapura ‘menyerbu’ Johor untuk membeli barangan persiapan Aidilfitri termasuk memborong biskut raya dan kerepek.
Faktor mata wang dolar Singapura yang lebih tinggi berbanding ringgit iaitu pada kadar $1 bersamaan RM3.30, mendorong rakyat negara jiran itu berbelanja sakan di seberang tambak.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapti, pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall dan beberapa premis di Uda Business Centre, menjadi tumpuan warga Singapura dengan kebanyakan kedai dipenuhi pelanggan dari negara jiran itu.
Kebanyakan mereka turut membawa bersama beg beroda khas untuk memudahkan pembelian biskut raya dan kerepek dalam kuantiti banyak. Difahamkan, ada antara mereka yang berbelanja sehingga $1,000 (RM3,300) bagi tujuan tersebut.
Seorang warga Singapura, Faridah Ibrahim, 57, berkata, dia dan keluarganya tidak pernah ketinggalan untuk ke Johor Bahru setiap tahun bagi mendapatkan bekalan biskut dan kerepek raya.
Menurutnya, faktor nilai pertukaran mata wang menjadi penarik, namun mengakui variasi kuih-muih yang pelbagai dijual menjadi keutamaannya.
“Saya menghabiskan sebanyak RM700 bagi membeli biskut dan kerepek.
“Banyak yang dijual pada harga promosi, tiga atau empat balang hanya RM100. Sangat berbaloi kerana terdapat banyak pilihan, antara yang menjadi kegemaran ialah kerepek ubi, kerepek pisang dan rempeyek,” katanya yang tinggal di Punggol, Singapura.
Seorang lagi warga Singapura, Muhammad Juwaidi Norizan, 33, berkata dia bersama keluarganya telah berada di Johor Bahru selama dua hari untuk membuat perbandingan harga sebelum membeli kelengkapan hari raya.
“Kami lebih gemar membeli-belah di sini kerana harga yang lebih berpatutan serta pilihan pakaian yang lebih menarik dan terkini.
“Selain itu, pertukaran nilai mata wang juga memberi kelebihan kepada kami untuk berbelanja di Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kuih raya, Zulkifli Mohd. Hafan, 47, berkata, dia menawarkan harga sama kepada semua pelanggan tanpa mengira kewarganegaraan.
“Saya menjual lebih 60 jenis biskut dan lebih 30 jenis kerepek. Tahun ini, saya lihat trend orang ramai membuat persiapan lebih awal.
“Sejak satu Ramadan, sudah ada yang membeli dalam jumlah banyak, terutama warga Singapura yang suka memborong untuk diagihkan kepada ahli keluarga dan jiran.
“Berbeza dengan rakyat tempatan yang lebih gemar membeli dalam kuantiti kecil terlebih dahulu dan akan kembali pada minggu akhir Ramadan untuk membuat pembelian besar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh berkata, tahun lalu pusat beli-belah tersebut menerima kehadiran seramai 4.5 juta pengunjung sepanjang Ramadan dan jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini. – UTUSAN










