Pulau peranginan ‘bebas’ sampah

Pulau peranginan ‘bebas’ sampah

BOT pengangkut membawa sampah yang dikutip dari setiap resort dan chalet untuk dilupuskan di pusat pelupusan sampah di Pasir Panjang, Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kekerapan kutipan sisa pepejal dan pelaksanaan kerja mengikut jadual membolehkan pulau-pulau pelancongan di negeri ini seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian ‘bebas’ daripada lambakan sampah.

Ketika ini, kekerapan kutipan sampah di Pulau Redang adalah sebanyak 15 kali sebu­lan manakala jadual kutipan sampah di Pulau Perhentian setiap hari kecuali pada hari cuti umum dan musim tengkujuh.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelaksanaan kerja kutipan sampah di pulau-pulau peranginan di Terengganu mengikut jadual ditetapkan pi­hak berkuasa tempatan (PBT).

Kerja pelupusan sampah pula tidak dilakukan di kawasan pulau, sebaliknya dipindahkan ke tanah besar dalam usaha memastikan keindahan pulau-pulau terus terpulihara.

Dianggarkan lebih 500 tan metrik sampah daripada pulau di perairan seperti Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian diangkut ke tanah besar untuk pelupusan setahun.

Pemunggahan sampah dibuat menggunakan bot pengangkut dan mengikut masa ditetapkan bagi mengelak terkandas di beting pasir muara sungai dan bertembung dengan pelancong yang tiba di jeti-jeti.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu lambakan sampah tidak lagi berulang di Pulau Redang seperti yang pernah berlaku pada 2023.

“Berdasarkan semakan de­ngan PBT selaku agensi yang bertanggungjawab mengawal selia dan memantau kerja-kerja kebersihan termasuk kutipan sampah, semua kontraktor yang dilantik menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Setakat ini, kita ada satu syarikat kutipan sisa pepejal di Pulau Redang di bawah pemantauan Majlis Bandaraya Kua­la Terengganu (MBKT) dan satu syarikat kutipan sisa pepe­jal dan pembersihan awam di Pulau Perhentian di bawah pemantauan Majlis Daerah Besut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, penduduk Kampung Baru di Pulau Redang me­rungut kerana terpaksa menghidu bau busuk akibat timbunan sampah yang kritikal di kawasan pulau pelancongan tersebut.

Penduduk juga bimbang de­ngan tahap keselamatan mereka kerana timbunan sampah itu boleh menyebabkan risiko pe­nyakit bawaan serangga dan binatang seperti lalat dan tikus.

Masalah itu berlaku apabila sebuah bot milik kontraktor rosak menyebabkan timbunan sampah tidak dapat diuruskan dengan sempurna namun isu tersebut selesai tidak lama selepas itu.

Wan Sukairi bagaimanapun ti­dak menafikan masih terdapat rungutan kelewatan kutipan sampah daripada beberapa pihak terutama pada musim ombak besar atau pada musim tengkujuh.

“Namun tindakan segera te­rus dilaksanakan oleh pihak kon­traktor selepas keadaan ombak dan cuaca kembali reda.

“Pemantauan sentiasa dibuat oleh kakitangan PBT dan sebarang masalah yang dihadapi seperti kerosakan bot dibuat penyelarasan semula jadual kerja bagi mengelakkan gangguan dalam kerja-kerja kutipan sisa pepejal,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Ne­geri Terengganu ketika ini ber­puas hati dengan tahap kebersihan di pulau-pulau pelancongan utama seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN