Pintu peti sejuk lama pengganti bot nelayan di Gaza

Pintu peti sejuk lama pengganti bot nelayan di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Seorang nelayan Gaza, Khaled Habib terpaksa menggunakan pintu peti sejuk lama sebagai pengganti bot dan pendayung buatan sendiri untuk menangkap ikan.

Pengeboman Israel selama lebih 15 bulan di Gaza, memusnahkan sebahagian besar bot di pelabuhan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan para nelayan.

“Kami berada dalam situasi yang sangat sukar dan bergelut untuk menangkap ikan. Tiada lagi bot nelayan yang tinggal, semua musnah dan tercampak di darat.

“Saya buat ‘bot’ ini daripada pintu peti sejuk dan gabus, syukurlah ia berfungsi,” kata Khaled kepada AFP.

Demi meneruskan kehidupan dan menanggung keluarga, beliau mendapat idea untuk menyumbat gabus ke dalam peti sejuk lama supaya ia boleh terapung.

Khaled turut menutup satu bahagian dengan kayu dan bahagian lain dengan helaian plastik bagi memastikan pendayung buatan sendirinya kalis air.

Beliau juga membuat sangkar ikan daripada dawai kerana kekurangan jaring, namun mengakui hasil tangkapannya kecil.

Dengan menggunakan doh sebagai umpan, beliau kini hanya menangkap ikan di dalam kawasan pelabuhan kecil.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari dan sebahagian besar pertempuran terhenti, Khaled berkata, aktiviti menangkap ikan di luar pelabuhan masih tidak dibenarkan.

“Jika kami pergi, bot Israel akan menembak kami dan itu adalah masalah besar yang terpaksa dihadapi,” katanya.

Beliau menangkap ikan untuk memberi makan keluarganya dan berusaha membantu orang lain dengan menjual selebihnya pada harga berpatutan di pasar pelabuhan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, konflik menyebabkan sektor perikanan Gaza yang pernah berkembang maju ke ambang kehancuran.

“Purata tangkapan harian di Gaza antara Oktober hingga April 2024 merosot kepada hanya 7.3 peratus daripada tahun 2022, menyebabkan kerugian pengeluaran sebanyak AS$17.5 juta (RM77.2 juta),” menurut FAO.

Perang Israel di Gaza tercetus selepas serangan 7 Oktober 2023, mengakibatkan 48,456 rakyat Palestin terbunuh.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×