Peruntukan: Pembangkang perlu beri cadangan

Peruntukan: Pembangkang perlu beri cadangan

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen diminta tampil mengemukakan cadangan bagi memboleh­kan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa bagi membincangkan cadangan ber­hubung pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang masih belum dapat ditubuhkan.

Beliau berkata, setakat ini, blok pembangkang secara keseluruhannya masih belum mengemukakan dokumen rasmi perincian cadangan mereka.

“Bila saya dah terima cadangan (nanti), baru saya dapat tubuhkan jawatankuasa di peringkat kerajaan dan jawatankuasa di peringkat pembangkang, kemudian barulah kita bincang, tapi sekarang ini apa nak dibincangkan?

“(Ahli Parlimen pembangkang) bercakap dengan media tetapi tidak melaksanakan apa-apa. Jadi saya tak dapat nak buat apalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau kawasan Parlimen Petra Jaya, Kuching.

Kelmarin, media melaporkan pihak pembangkang men­dakwa mereka disyaratkan menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri itu sebelum jawatankuasa berkenaan ditubuhkan.

Ketika diminta mengulas dakwaan itu, Fadillah meminta media mendapatkan pengesahan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin selaku Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada menghubungi Fadillah untuk bertanyakan mengenai jawatankuasa bagi melihat semua cadangan daripada pembangkang ke arah penyelesaian menyeluruh.

Sebelum ini, PN mengumumkan menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah de­ngan Perlembagaan.

Pembangkang mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh di­salah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN