Pasangan setia, ajal pun dijemput bersama

Pasangan setia, ajal pun dijemput bersama

MASNAH Abdul Hamid menyiram kubur anak dan menantunya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Pusara Aman Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: “Mereka pasangan yang setia, ke mana-mana pun sentiasa bersama sehinggakan dijemput ajal pun bersama.”

Demikian kata Masnah Abdul Hamid, 76, ibu kepada pesara polis, Sarjan Mejar (B), Baharudin Ahmad, 59, yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama isterinya, Wan Saniah W. Ismail, 66, di Jalan Pantai Tanjung Piandang, pagi semalam,

Pasangan suami isteri itu maut selepas Perodua Kelisa mereka naiki terlibat kemalangan dengan Honda City, manakala anak angkat lelaki pasangan itu berusia 13 tahun cedera.

Masnah berkata, Baharudin dan Wan Saniah pasangan suami isteri yang sangat bahagia, sentiasa bersama dalam apa jua keadaan.

“Mereka berdua selalu bersama, tidak pernah berpisah, kecuali ketika Baharudin datang berjumpa saya selepas pulang dari umrah baru-baru ini kerana isteri dan anak-anaknya masih demam.

“Betapa setianya mereka berdua sehingga ajal menjemput, mereka tetap bersama malah dikuburkan bersama dalam satu liang lahat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, dia reda dengan kehilangan anak dan menantunya dalam kemalangan tersebut dan mengampunkan segala kesalahan mereka.

Dia menyifatkan arwah anak dan menantunya beruntung kerana meninggal dalam bulan Ramadan yang mulia.

Katanya, Baharudin ada menghubunginya baru-baru ini dan meminta maaf, tidak menyangka itu tanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Masih terngiang ketika dia (Baharudin) menghubungi saya dan memohon keampunan serta meminta dihalalkan segala makan dan minum sepanjang membesarkannya.

“Kata-katanya masih saya ingat hingga kini. Saya ampunkan, saya halalkan segala-galanya. Saya reda dengan pemergian mereka berdua.

“Saya tidak pernah sangka dia yang pergi dahulu. Saya sangkakan saya yang akan pergi dulu kerana semakin tua dan sering sakit-sakit,” katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Taman Pusara Aman Alor Pongsu pada pukul 6 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN