Malaysia mampu lahir 60,000 jurutera pelbagai bidang hasil kejayaan TVET

Malaysia mampu lahir 60,000 jurutera pelbagai bidang hasil kejayaan TVET

AHMAD Zahid Hamidi bersama mahasiswa semasa lawatan kerja ke Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis, semalam. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Malaysia mampu melahirkan 60,000 jurutera pelbagai bidang bagi memenuhi pasaran kerja membabitkan syarikat tempatan dan antarabangsa hasil kejayaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang terus diperkasakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain menyediakan program TVET kepada para pelajar, kebanyakan institusi kerajaan juga kini menawarkan kursus peningkatan kemahiran (upskilling) kepada pekerja mahir sedia ada.

Katanya, kursus peningkatan kemahiran berjaya menjadikan pekerja berkemahiran tinggi sehingga mereka ditawarkan gaji lumayan di dalam dan luar negara.

Ujar beliau, mengambil contoh Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang berjaya membekalkan pekerja mahir terutama dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E).

“Disebabkan itu juga, kita sangat memerlukan ramai tenaga kerja dalam bidang tersebut dan Unimap sentiasa menjadi antara penyumbang utama kepada graduan dalam bidang E&E ini.

“Pemain industri ini mendapat jaminan menerima pekerja mahir dan profesional dalam bidang E&E secara berterusan hasil latihan yang disediakan oleh Unimap ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Unimap di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, antara penerima manfaat kepada program peningkatan kemahiran pekerja yang disediakan Unimap tersebut adalah seperti pihak industri di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech).

Katanya, Unimap yang menjadi pusat latihan TVET berada di barisan hadapan ke arah kewujudan 60,000 jurutera yang diperlukan pasaran hasil program TVET.

“Latihan peningkatan kemahiran yang dibuat Unimap juga membolehkan graduannya mendapat gaji premium dengan kebolehpasaran graduan mencapai 98.8 peratus,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya