KUALA LUMPUR: Seseorang yang memegang jawatan Perdana Menteri berpotensi terlibat dalam isu salah guna kuasa sekiranya berada di tampuk kuasa itu terlalu lama.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkara itu sudah pun dibuktikan oleh ramai pemimpin-pemimpin dunia sebelum ini.
Oleh itu, beliau berkata, Bersih bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
“Sebagai contoh di Indonesia iaitu Suharto yang menjadi Presiden selama lebih 30 tahun sebelum digantikan oleh Bacharuddin Jusuf Habibie yang membawa reformasi ke negara tersebut.
“Habibie sedar apabila Suharto menjadi Presiden terlalu lama berlakunya korupsi, salah guna kuasa, penindasan, ekonomi rakyat merundum dan sebagainya, ini faktor mengapa beliau meletakkan had dua penggal di Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh sebagai Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Perdana Menteri berkata, jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga daripada
ahli Parlimen, ia boleh diusul di Dewan Rakyat supaya Perlembagaan Persekutuan mengenainya dipinda
Muhammad Faisal berkata lagi, cadangan mewujudkan tempoh maksimum tersebut akan melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkaliber dan mampu memimpin negara.
Jelasnya, ia turut mewujudkan persaingan politik yang sihat dan mencegah daripada berlakunya pemusatan kuasa.
“Malah, seperti kita sedia maklum bahawa Raja-Raja kita juga mempunyai had penggal bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong iaitu selama lima tahun sebab ada sistem penggiliran. Jadi mengapa pula Perdana Menteri tidak boleh ada had?
“Dengan adanya tempoh maksimum tersebut, Perdana Menteri kita tidak akan nampak lebih dominan dari Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya. – UTUSAN










