Kelemahan struktur, monopoli belenggu utama industri padi negara

Kelemahan struktur, monopoli belenggu utama industri padi negara

KETIKA harga RM2.60 sekilogram ditetapkan, harga belian padi oleh pengilang adalah sekitar RM900 ke RM1,100 per tan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah utama dalam industri padi dan beras berpunca daripada isu struktur, khususnya dasar dan polisi yang terlalu mengongkong sehingga menyebabkan perkembangan sektor tersebut menjadi lembab dan tidak ada ruang untuk maju.

Keadaan tersebut diburukkan lagi apabila golongan petani yang merupakan tunjang utama industri padi terus berada dalam kelompok miskin, dengan 90 peratus daripada mereka hidup di bawah paras kemiskinan.

Pakar Sekuriti Makanan, Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, selagi struktur sedia ada tidak diubah, masalah yang sama akan terus berulang setiap kali berlakunya krisis padi dan beras.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, disebabkan masalah sedia ada berpunca daripada kelemahan struktur, sebarang penambahbaikan hanya boleh dilakukan jika struktur tersebut diperhalusi dan diperbaiki.

“Bangladesh pernah berdepan masalah sama seperti Malaysia pada tahun 1990-an, namun berjaya mengatasinya selepas melaksanakan liberalisasi sektor beras pada tahun 1995 dan kini industri beras mereka terus berkembang.

“Vietnam pula, sejak pelaksanaan dasar Doi Moi pada 1985 berjaya melepaskan diri daripada sistem berpusat seperti yang diamalkan di Malaysia. Kini, mereka muncul sebagai pengeksport beras kedua terbesar di dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukkan sebanyak RM5.4 bilion bagi meningkatkan pengeluaran padi negara dengan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur termasuk merealisasikan sistem penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM1 bilion akan disalurkan tahun ini bagi menjayakan projek tersebut yang melibatkan beberapa fasa seperti diumumkan dalam Belanjawan Madani tahun lalu.

Fatimah berkata, dasar yang tidak menggalakkan persaingan sihat, menyekat inovasi serta mewujudkan ketidaksamarataan dalam kalangan pemain industri menyebabkan perkembangan teknologi dalam sektor padi dan beras semakin jauh ketinggalan berbanding negara serantau.

Jelasnya, kerajaan pula sering mengambil jalan mudah dengan bergantung kepada import bagi menampung kekurangan bekalan tempatan.

“Import beras hanyalah penyelesaian sementara. Ia sama sekali tidak menyelesaikan masalah struktur yang membelenggu industri beras negara.

“Malah, peningkatan import hanya menguntungkan pemegang monopoli, manakala industri padi dan beras tempatan yang sememangnya sudah sedia lemah terus terpinggir dan merosot,” katanya.

Fatimah berkata, sebarang bentuk monopoli dalam industri padi dan beras perlu dihapuskan bagi memberi ruang kepada lebih ramai usahawan muda menceburi sektor ini.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja membolehkan persaingan sihat, malah mampu merancakkan penggunaan teknologi digital di sepanjang rantaian bekalan.

“Import pula sepatutnya dijadikan alat untuk melindungi industri tempatan serta menjana pendapatan negara. Dengan mengenakan tarif import yang lebih tinggi, ia mungkin dapat menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran tempatan untuk jangka masa panjang.

“Selain itu, sistem subsidi input yang diamalkan sejak sekian lama sudah tidak lagi berkesan kerana hasil tanaman terus merosot. Lebih membimbangkan, agensi yang menguruskan subsidi ini turut berdepan masalah ketirisan dan ketidakcekapan selepas lebih 50 tahun beroperasi.

“Sebaliknya, subsidi output lebih praktikal kerana ia memberi kebebasan kepada petani untuk menentukan sendiri gabungan input terbaik yang sesuai dengan keperluan ladang mereka. Pada masa sama, ia juga dapat mengurangkan kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×