Jerebu rentas sempadan: Malaysia kemuka strategi tambah baik AATHP

Jerebu rentas sempadan: Malaysia kemuka strategi tambah baik AATHP

JEREBU rentas sempadan menjejaskan kualiti udara di Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan mengetengah beberapa strategi dalam menambah baik pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, Malaysia juga akan terus meneroka peluang kerjasama dua hala bersama Indonesia bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, sempena Kepengerusian ASEAN, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Ke-18 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN bersekali dengan Mesyuarat Ke-20 AATHP pada 1 hingga 5 September ini di Langkawi, Kedah.

Mengenai cuaca panas, NRES berkata, kerajaan sentiasa bersedia dalam menghadapi situasi cuaca panas dan kering.

Katanya, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2025 pada 5 Mac lalu di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Kuala Lumpur, dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, beberapa perkara yang telah dipersetujui. Antaranya:

*Kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan melaksanakan pemantauan secara berterusan di bawah bidang kuasa dan fungsi masing-masing bagi mengekang pembakaran terbuka, jerebu dan kejadian kebakaran berulang.

*Semua pihak perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara melalui maklumat yang boleh dicapai daripada aplikasi myCuaca dan laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

*Kementerian, Jabatan, Agensi dan Kerajaan Negeri perlu peka dan sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan selaras dengan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

*Kementerian, Jabatan, Agensi dan Kerajaan Negeri perlu memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut dan jentera berkaitan bagi memastikan sebarang insiden kebakaran dapat dipadamkan dengan segera.

*Kerajaan Negeri perlu memantau dan melaksanakan pencegahan kebakaran tanah gambut yang dimiliki di negeri masing-masing.

“Kerajaan Negeri turut diseru untuk membangunkan infrastruktur tanah gambut di kawasan berisiko terbakar seiring usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pada masa ini,” katanya.

NRES berkata, cuaca panas ketika ini diramal tidak seteruk tahun 2024 disebabkan pengaruh La Niña lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembap.

“Namun, jerebu tempatan masih boleh berlaku sekiranya insiden pembakaran terbuka tidak dikawal,” katanya.

Tambahnya, negara juga akan berhadapan dengan Monsun Barat Daya yang membawa cuaca yang panas dan kering sekitar bulan Mei hingga September tahun ini.

“Berdasarkan ramalan MET Malaysia, akan berlaku pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus berbanding keadaan biasa di Utara, Pantai Barat dan Timur Sabah pada bulan Mac 2025 dan di Barat Sarawak pada bulan April 2025. Negara dijangka akan menerima taburan hujan pada paras normal pada bulan Julai dan Ogos 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini