PUTRAJAYA: Tumpuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berkaitan dokumen kelulusan projek dan perolehan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Menurut sumber, siasatan itu antara tumpuan utama pada hari keempat keterangan yang diambil oleh pegawai penyiasat (SPRM), semalam.
Katanya, sepanjang tiga hari siasatan dilakukan, ia turut berkisar mengenai aset-aset yang diisytihar oleh Ahli Parlimen Bera itu.
Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, Ismail Sabri dikatakan masih perlu memberi keterangan dan berkemungkinan tidak akan berakhir semalam.
“Pegawai penyiasat memerlukan keterangan beliau mengenai beberapa perkara termasuk kelulusan projek yang dilakukannya.
“Masih ada pelbagai dokumen yang sedang disiasat dan lebih keterangan (diambil keterangan pada masa seterusnya) dilakukan pihaknya,” katanya di sini semalam.
Ismail Sabri selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada pukul 4.30 petang semalam selepas beliau hadir untuk kali keempat, sekitar pukul 9.50 pagi.
Ismail Sabri mula dipanggil untuk memberi keterangan oleh SPRM pada Januari 2024 berkaitan perbelanjaan publisiti kerajaan semasa pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas ditemukan di sebuah kondominium di ibu negara yang didakwa dijadikan ‘rumah selamat’ oleh pembantu kepada Ismail Sabri.
Pada Jumaat dan Khamis lalu beliau sudah hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan diambil keterangan sekurang-kurangnya enam ke lima jam oleh pegawai penyiasat selepas beberapa kali ditunda atas faktor kesihatan.
Siasatan yang dilakukan oleh SPRM itu dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN











