NAYPYIDAW: Pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang terselamat selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter menggegarkan Myanmar kelmarin, dengan jumlah korban melebihi 1,000 orang.
Gempa cetek itu melandar barat laut Sagaing, Myanmar, diikuti gegaran susulan berukuran 6.7 skala Richter.
Ketua junta, Min Aung Hlaing semalam mengesahkan sekurang-kurangnya 1,002 orang maut dan lebih 2,376 yang lain cedera di Myanmar.
Menurut laporan BBC, gegaran kecil terus menggegarkan Mandalay sehingga pagi Sabtu.
Ramai penduduk di bandar kedua terbesar Myanmar itu terpaksa bermalam di luar rumah ekoran trauma dan bimbang gempa bumi sama berulang.
“Situasi di Mandalay ketika memulakan operasi menyelamat sangat mengerikan. Hospital Besar Mandalay hampir penuh, dengan ramai pesakit mengalami serangan jantung.
“Orang ramai tidak berani pulang ke rumah, mereka trauma dan memilih untuk tidur di jalan,” kata seorang penyelamat.
Seorang penduduk, Ko Ko, yang enggan nama penuhnya didedahkan berkata, ramai penduduk mendirikan khemah kecil dan tidur di jalanan kerana tidak mahu mengambil risiko kembali ke rumah.
“Kami bimbang bangunan akan runtuh. Gegaran yang berlaku (pada Jumaat) sangat menakutkan.
“Bahkan, saya tidak boleh melupakan apabila melihat sendiri sebuah hospital runtuh di hadapan saya, dengan debu tebal menyelubungi pemandangan seperti dalam filem,” katanya.
Rakaman yang dikongsi di media sosial memaparkan keadaan kemusnahan, dengan biara, masjid, pangsapuri dan jalan raya rosak teruk atas musnah sepenuhnya.
Saksi melaporkan, lapan orang terbunuh dan ramai dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan pembinaan di Perbandaran Pyidyidagun turut roboh.
Junta turut menggesa orang ramai tampil membantu menderma darah ketika hospital awam di wilayah Sagaing dan Mandalay semakin sesak dengan pesakit.- AFP/BBC










