PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Mahkamah memutuskan demikian selepas menerima rayuan akhir semua perayu atas keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada pada 23 Julai tahun lalu.
Enam perayu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali masing-masing berusia 29 tahun.
Oleh itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar UPNM mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu berjalan bermula tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.
Hasnah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan keraguan munasabah.
Justeru itu ia menunjukkan peruntukan Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan tidak dapat disandarkan pihak pendakwaan dalam kes ini untuk membuktikan kesalahan membunuh.
“Oleh demikian, sabitan perayu-perayu bagi kesalahan membunuh dan persubahatan membunuh tidak dapat dipertahankan, keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan perayu bagi kesalahan itu diketepikan.
“Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan perayu dengan kesalahan 304(a) Kanun Keseksaan dan persubahatan terhadap Abdoul Hakeem Mohd Ali (perayu keenam) dikembalikan, hukuman penjara 18 tahun dari tarikh tangkap bagi setiap perayu juga dikekalkan,” katanya.
Sebelum ini, keterangan perayu pertama hingga kelima dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menekap seterika wap kepada badan mangsa telah dibuktikan dengan keterangan langsung daripada SP24 (Saksi Pendakwaan ke-24) Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah.
Penghakiman lanjut turut menyatakan elemen pertama dan kedua bagi pemakaian Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan berjaya dibuktikan pendakwaan bagi kesalahan membunuh itu juga elemen penting seterusnya sama ada kecederaan dialami mangsa lazimnya menyebabkan kematian.
“Dalam kes ini antara keterangan penting, adalah keterangan SP6 Dr. Salmah Arshad (ahli patologi dan pakar forensik Hospital Serdang) yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.
“Berdasarkan keterangan SP6, beliau bersetuju dengan pertanyaan pendakwa raya bahawa luka bakar atau kesan lecur pada mangsa pada lazimnya menyebabkan kematian, di sini dalam membuat sesuatu dapatan, fakta mahkamah perlu meneliti keseluruhan keterangan SP6 dan keterangan lain mengenai isu kecederaan pada lazimnya menyebabkan kematian ini telah dibuktikan atau sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, lima penuntut iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif, Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara, Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Kemudian pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enam mereka kerana membunuh Zulfarhan selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai, Solehah Noratikah Ismail dan Joy Jothi Nadrarasan manakala semua bekas penuntut UPNM diwakili barisan peguam iaitu antaranya Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Hazman Ahmad dan Amer Hamzah Arshad. – UTUSAN










