PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyemak semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah disemak sejak 32 tahun lalu.
Semakan caj konsultasi yang terakhir pada tahun 2006 itu dijangka memberi kesan kepada kira-kira 10,300 klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta 586 setakat September 2023.
Daripada jumlah itu, Selangor mendahului bilangan klinik swasta terbanyak dengan 3,058 buah klinik diikuti Kuala Lumpur (1,420), Johor (1,234), Perak (753), Pulau Pinang (693), Sabah (538), Kedah (491), Negeri Sembilan (399), Melaka (391), Sarawak (369), Pahang (313), Terengganu (282), Kelantan (275), Perlis (51), Putrajaya (17) dan Labuan (16).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menjalankan simulasi dan mendapatkan julat harga yang sesuai dengan mengambil kira kesan kenaikan fi konsultasi ini kepada Indeks Harga Pengguna (CPI).
Katanya, semakan itu dilakukan mengikut Jadual Ketujuh Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta ((Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 di bawah Akta 586 mengawal selia caj perundingan dan caj tatacara bagi pengamal perubatan am yang memberikan perkhidmatan di klinik perubatan am swasta (GP).
“KKM kini sedang dalam usaha untuk menyemak semula fi perundingan bagi pengamal perubatan perubatan am yang memberikan perkhidmatan di klinik perubatan am swasta yang tidak dipinda sejak 2006.
“Untuk makluman, KKM sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menjalankan simulasi dan mendapatkan julat harga yang sesuai dengan mengambil kira kesan kenaikan fi konsultasi ini kepada Indeks Harga Pengguna (CPI),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN – Ayer Hitam) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana kadar caj konsultasi doktor yang tidak berubah sejak 32 tahun memberi kesan terhadap inflasi kos rawatan melibatkan klinik swasta.
Pada Januari lalu, akhbar ini melaporkan bahawa akdar caj konsultasi doktor swasta tidak mengalami sebarang perubahan sejak 32 tahun lalu.
Ini menyebabkan pihak terbabit terpaksa menaikkan caj kos operasi yang semakin meningkat, termasuk sewa premis, kos utiliti, peralatan perubatan serta perbelanjaan berkaitan teknologi dan sumber manusia telah meletakkan tekanan besar ke atas klinik swasta.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Kaira berkata, yuran doktor ditetapkan di bawah Jadual Bayaran Ketujuh Akta dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.
Katanya, dengan kos operasi yang tinggi dan yuran GP yang tidak berubah selama lebih 30 tahun, mencari jalan untuk mengurangkan caj rawatan akan menjadi satu cabaran yang besar.
“Walaupun begitu, kadar yuran yang kekal sama sejak lebih tiga dekad lalu telah menyukarkan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk terus beroperasi secara mampan.
“Keadaan ini menjadi cabaran besar bagi pengusaha klinik swasta. Banyak klinik terpaksa menutup operasi dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, pihaknya menyokong penuh semakan caj konsultasi doktor klinik swasta yang sudah lama tidak disemak.
“Pada kadar sekarang, caj yang termaktub di dalam Akta PHFSA hanyalah pada kadar RM15 hingga RM35 sahaja. Oleh demikian, Perdim mencadangkan supaya kadar caj dinaikkan kepada RM80 hingga RM100.
“Jumlah ini adalah satu angka yang relevan memandangkan tidak pernah ada kenaikan dilakukan sejak 32 tahun lalu dan caj dikenakan jauh lebih murah berbanding negara jiran lain seperti Singapura dan Thailand,” katanya. – UTUSAN










