KLANG: Nur Asiyifa Aszehari tidak menyangka ayahnya, Aszehari Ansar, 46, akan meninggal dunia di depan matanya dalam keadaan tragis, iaitu dihempap sebatang pokok besar di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda, di sini, petang semalam.
Menurut Nur Asyifa, 13, kejadian ngeri yang berlaku sekelip mata itu merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
Menceritakan kejadian tersebut, dia dan ayahnya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jawa, di sini setelah selesai sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Bukit Kuda.
“Waktu kejadian hujan sudah berhenti dan tidak banyak kenderaan di lokasi kejadian.
“Tiba-tiba sebatang pokok besar terus menghempap kereta ketika kami melalui lokasi kejadian. Insiden itu berlaku sangat cepat sehinggakan ayah tidak sempat ubah haluan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Setelah dihempap pokok, dia yang duduk di bahagian penumpang belakang menjerit kerana terkejut dengan apa yang berlaku.
“Saya diselamatkan oleh seorang individu yang buka pintu belakang kereta.
“Kalau boleh, nak bantu selamatkan ayah tapi memang tidak boleh kerana ayah sudah tersepit pada pokok besar,” katanya dengan nada sayu.
Sementara itu isteri Allahyarham, Siti Norwani Mohamed berkata, permintaan Aszehari yang memintanya tidak mengikutnya mengambil anak dan memasak di rumah menjadi ‘petanda’ Allah mahu menyelamatkannya daripada menjadi mangsa keadaan.
Kata Siti Norwani, 41, dia kerap menemani suaminya untuk mengambil anak tunggal mereka di sekolah dan seterusnya makan di luar.
“Kebiasaannya, suami dan anak sampai rumah dalam lima ke 10 minit. Tapi pukul 6.30 petang (semalam) pun mereka tidak sampai rumah lagi walaupun hujan sudah reda.
“Jiran maklum suami dihempap pokok dan minta saya ikutnya ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, saya terkejut tengok kereta suami dihempap pokok besar dengan bahagian hadapan kereta remuk teruk,” katanya.










