PETALING JAYA: Syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilonggarkan kepada hanya tiga kredit iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains.
Sebelum ini, calon perlu mempunyai lima kredit iaitu Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, kredit salah satu mata pelajaran Sains (Biologi, Kimia, Fizik, Sains Gunaan), Bahasa Inggeris dan mendapat kepujian dalam mana-mana satu mata pelajaran lain untuk mengikuti program berkenaan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kepada Utusan Malaysia.
Kata beliau, surat edaran mengenai kelonggaran syarat kemasukan ke program berkenaan yang ditular di media sosial adalah benar.
“Ya, memang benar, sudah dapat info dari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dengan sebab yang telah diberitahu oleh beliau,” katanya.
Dalam surat tersebut dinyatakan, negara kini menghadapi isu kekurangan jururawat yang semakin meruncing dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan.
Oleh itu, jika perkara ini tidak dibendung, ia akan memberi impak dan menjejaskan kepada kesejahteraan negara.
“Perkara ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) pada 28 November 2024. Ahli mesyuarat telah bersetuju untuk melonggarkan syarat kemasukan program Diploma Kejururawatan bagi pelajar lepasan SPM dari lima kepada tiga kredit.
“Memiliki sijil SPM dengan minimum tiga kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik (Elementary/Moden/Tambahan) dan Sains (Sains/Biologi/Kimia/Fizik/Sains Gunaan/Sains Tambahan).
“Selain itu, pemohon perlu mendapat lulus dalam dua mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris,” jelas kandungan surat itu.
Tambahnya lagi, kelonggaran syarat kemasukan tertakluk kepada calon pelajar bagi tahun 2025 dan 2026 sahaja.
“Analisa pencapaian pelajar melalui peperiksaan LJM akan dibuat bagi menilai keberkesanan pelaksanaan tempoh percubaan ini,” katanya.
Sebelum ini, syarat kemasukan bagi program Diploma Kejururawatan memerlukan calon untuk memiliki lima kepujian dalam SPM termasuk Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, serta salah satu mata pelajaran Sains seperti Biologi, Kimia, Fizik, atau Sains.
Selain itu, calon juga perlu lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Calon juga perlu lulus sesi temuduga yang dijalankan oleh institusi pengajian bagi menilai kesesuaian mereka untuk mengikuti program ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kesesakan hospital kerajaan disebabkan kekurangan pengambilan doktor atau jururawat dalam sektor kesihatan.
Laporan Tahunan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) pada 2022 dan 2023 menunjukkan penurunan dalam jumlah pendaftaran sementara untuk beberapa tahun kebelakangan.
Pada 2017, jumlah pendaftaran adalah 6,147 pelajar, dan ia menurun kepada 3,867 pelajar pada 2021, sementara pada 2022 sebanyak 3,857 pelajar, terus berkurang kepada 3,247 pelajar setahun kemudian.
Jumlah pendaftaran daripada institusi dalam negara juga mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 3,336 pelajar pada 2020, 3,054 pelajar (2021), 3,167 pelajar (2022) dan 2,759 pelajar (2023).
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, penurunan itu lebih ketara dalam kalangan graduan luar negara, di mana jumlah pendaftaran dari luar negara menurun daripada 1,882 graduan pada 2020 kepada 813 graduan (2021), 690 graduan (2022) dan seterusnya 488 (2023). – UTUSAN










