SRBJ: Lebih 4,000 pelajar terlibat

SRBJ: Lebih 4,000 pelajar terlibat

AZNAN Tamin (tengah) bersama penerima Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 4,300 pelajar dan 212 guru terlibat dalam fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang bermula pada sesi persekolahan 2025, 17 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, projek rintis itu memberi penekanan terhadap penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.

Justeru, katanya, pelajar terlibat akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai persediaan, seramai 212 guru sekolah rendah dan menengah terlibat telah dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura untuk latihan dan bengkel sebagai persediaan pembukaan sekolah rintis pada pertengahan bulan ini.

“Kita mahu semua 212 guru memperoleh sijil mengikut pia­waian antarabangsa, Common European Framework of Re­ference For Language (CEFR). Mereka ini menjadi tulang belakang SRBJ,” katanya selepas menyempurnakan Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini.

Projek SRBJ di peringkat permulaan membabitkan dua sekolah buah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara serta dua sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi SRBJ.

Sekolah rintis itu akan diberi keutamaan dari segi naik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan edaran semasa.

Aznan berkata, dari segi sistem pembelajaran dan silibus akan ada penambahan, namun dari segi sesi persekolahan masih sama.

Bagi sekolah menengah, ia melibatkan semua pelajar, namun tumpuan lebih bagi pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjadi penanda aras setelah hasilnya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

“Di sekolah rendah, ia akan melibatkan semua murid de­ngan sistem pendidikan yang kita sudah susun. Paling pen­ting ia tidak mengubah Dasar Pendidikan Negara, hanya sedikit penambahan terhadap silibus sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini