PASIR SALAK: Kenaikan harga santan menyebabkan peniaga kuih di sini terpaksa menaikkan harga jualan mereka.
Peniaga kuih di Bendang Besar, Kampung Gajah di sini, Nabila Rosli, 28, berkata, harga santan naik ke paras tertinggi iaitu RM18 sekilogram sejak dua minggu lalu lalu disebabkan kekurangan bekalan kelapa tua.
Menurutnya, ia merupakan kenaikkan ketara berbanding RM15 sekilogram sebelum ini, sekali gus memberi masalah kepada peniaga kuih yang banyak menggunakan santan segar.
“Saya tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga kuih, antaranya kuih talam dan kuih lapis dinaikan 60 sen setiap satu, sebelum ini harga 50 sen satu.
“Harga makanan lain yang berasas santan seperti nasi lemak dan rendang juga terpaksa dinaikkan sedikit kerana menggunakan santan yang banyak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, peniaga juga tiada pilihan lain apabila terpaksa menggunakan santan kotak untuk membuat kuih dan nasi lemak.
Walaupun berlaku kenaikan harga, Nabila mmeberitahu jualan hariannya tidak terjejas.
Seorang lagi peniaga kuih di Hutan Melintang, Rohkiah Abdul Manap 56, mengakui serba salah untuk menaikkan harga jualan walaupun berdepan masalah harga santan mahal.
Katanya, dia mempunyai ramai pelanggan tetap yang sudah biasa membeli pada harga yang rendah.
“Buat masa ini saya jual harga sama, 50 sen setiap kuih cuma saiznya dikecilkan sebab semua barang mahal, terpaksa buat begini,” katanya.
Peniaga nasi lemak di sini, Muhammad Arif Nor Azmi, 30, juga tidak menaikkan harga jualan RM6 sepinggan walaupun harga santan naik.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa menaikkan harga jualan. Mungkin harga santan akan kembali stabil selepas ini,” katanya.-UTUSAN.