KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 35 aduan berhubung pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kebanyakan aduan berkaitan gangguan sistem di pam stesen minyak, khususnya pembaca kad yang gagal mengesan cip MyKad pengguna.
“Setakat ini, kami menerima 34 aduan berkaitan penggunaan BUDI95. Siasatan oleh pihak KPDN mendapati terdapat dua punca utama iaitu gangguan sistem dan masa henti sistem ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu sama ada aduan berkaitan program BUDI95 adalah aduan sebenar atau sekadar dimainkan pihak tertentu bagi mewujudkan persepsi negatif dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, bagi aduan yang melibatkan gangguan sistem, stesen minyak yang terlibat telah pun membuat bayaran balik kepada pengguna yang terkesan.
Katanya, pengguna boleh menyelesaikan isu tersebut dengan menggunakan terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tersedia di kaunter dalam kiosk stesen minyak.
“Saya telah melawat beberapa stesen minyak semalam dan melihat sendiri persiapan mereka. Pemeriksaan di pam luar dan dalam adalah sistem yang dibangunkan oleh syarikat minyak.
“ Sekiranya sistem luar mengalami gangguan, pengguna boleh masuk ke dalam untuk menggunakan terminal SARA,” katanya. – UTUSAN










