Rundingan fasa kedua gencatan senjata Gaza minggu ini

Rundingan fasa kedua gencatan senjata Gaza minggu ini

SEORANG lelaki mengibarkan bendera Palestin ketika orang ramai meraikan perjanjian gencatan senjata Hamas dan Israel di Gaza, pada 19 Januari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Hamas dan Israel bersetuju memulakan rundingan tidak langsung bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza, minggu ini.

Rundingan tersebut dibuat ketika Hamas bersedia menyerahkan lebih ramai tebusan Israel, termasuk mayat dua kanak-kanak.

Pemimpin Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya mengesahkan empat mayat tebusan, termasuk keluarga Bibas, akan diserahkan hari ini, manakala baki enam tawanan masih hidup menyusul untuk pertukaran ketujuh pada Sabtu.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut mengesahkan perjanjian dicapai di Kaherah untuk membebaskan enam tebusannya pada Sabtu, empat mayat pada Khamis dan empat lagi minggu depan, tanpa menamakan mereka.

Rundingan untuk fasa kedua perjanjian itu sepatutnya bermula 4 Februari lalu, tetapi pengantara Qatar, bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS), memaklumkan perbicangan secara rasmi masih belum dimulakan.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar dalam sidang akhbar di Baitulmuqaddis memaklumkan, rundingan itu akan berlangsung minggu ini.

Fasa pertama, yang merangkumi gencatan senjata selama 42 hari dan pembebasan 33 tebusan Israel sebagai pertukaran kepada ratusan tahanan Palestin, masih kekal pada landasan walaupun terdapat pertikaian serta dakwaan pelanggaran yang hampir menggagalkan perjanjian.

Namun, rundingan fasa kedua dijangka lebih mencabar kerana melibatkan isu pentadbiran Gaza pasca perang, berikutan jurang besar dalam pendirian kedua-dua pihak.

Setakat ini, 19 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin.

Perjanjian gencatan senjata turut dibayangi oleh cadangan Presiden AS, Donald Trump yang mahu memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan mengambil alih wilayah itu sebagai kawasan pelabuhan di bawah kawalan Washington.

Cadangan itu ditolak keras oleh kumpulan Palestin, negara Arab dan sekutu Barat AS, yang menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×