JERLUN: Kerajaan memperuntukan RM5.4 bilion bagi meningkatkan penghasilan padi negara dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur termasuk bagi merealisasikan penanaman lima kali dua tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM1 billion akan disalurkan pada tahun ini bagi menjayakan projek yang membabitkan beberapa fasa itu seperti yang diumumkan pada Belanjawan Madani tahun lalu.
“Keseluruhan projek yang kita buat projek ini adalah RM5 bilion. Kita segerakan fasa pertama termasuk menyakin pesawah boleh dilakukan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda.
“Ini juga bukti kerajaan tidak mengabaikan kebajikan pesawah kerana mereka adalah tulang belakang kepada sektor makanan negara.
“Kerajaan perlu amanah dalam melaksanakan tugas. Apabila saya bersara nanti, semua usaha ini mestilah terus dijalankan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika meluncurkan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Kali Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam di sini semalam.
Beliau memberitahu, antara yang dibangunkan ialah membina prasarana pengairan termasuk menaik taraf sistem tali air dan Empangan Pedu yang mempunyai pelbagai kepentingan.
Katanya, kerajaan juga mendapatkan kepakaran dari Belanda yang mahir dalam sistem perparitan dan tebatan banjir.
“Perbangunan ini perlu disegerakan bagi memastikan pengairan sawah padi lebih terjamin. Kita sudah merangka satu pelan jangka panjang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1 bilion untuk fasa pertama projek ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, peruntukan RM1 bilion untuk satu kawasan bukan jumlah yang kecil dan perkara itu tidak boleh dipandang ringan.
“Seperti juga masalah tebatan banjir jika tidak diselesaikan, ia bukan sahaja merosakkan tanaman tetapi juga menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.
Anwar turut mengambil maklum mengenai keluhan petani berhubung isu benih dan baja yang didakwa kurang berkualiti sehingga memberi kesan kepada hasil padi.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat termasuk para pesawah bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.
“Ada orang cadangkan gunakan benih padi yang digunakan di Sekinchan tetapi kajian mendapati benih itu tidak sesuai untuk tanah di Kedah. Di Vietnam pun, benih digunakan di selatan negara itu tidak sama dengan benih ditanam di kawasan utara.
“Bab baja pula, memang yang dikeluarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di kilang dekat Gurun itu bagus namun banyak masalahnya. Kita mahu masalah ini diselesaikan dan pihak kementerian adakan perbincangan dengan pesawah bagi mencari benih serta baja terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, separuh daripada sumbangan berjumlah RM30 juta yang diberikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary melalui Bernas akan disalurkan dalam masa terdekat kepada pesawah sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Bernas khususnya Syed Mokhtar kerana apabila saya ambil alih jawatan Perdana Menteri, saya katakan padanya daripada Bernas beri wang kepada parti politik, lebih baik beri kepada pesawah.
“Sebab itu dari tahun lepas, beliau beri RM50 juta. Tahun ini diberi lagi tambahan RM15 juta untuk pesawah gunakan buat persiapan Ramadan serta Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Pelajar Universiti Antarbangsa Albukhary (AIU) di Alor Setar, Anwar berkata, kerajaan perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memberi fokus kepada ekonomi dan pendidikan berkualiti agar dapat mengembalikan keyakinan terhadap dunia Islam yang mengalami defisit kepercayaan.
“Apa yang kurang dalam dunia Islam sekarang? Defisit kepercayaan. Kita tidak lagi percaya kepada perjuangan, pengorbanan dan sumbangan yang sebenar,’’ kata beliau.










