PN lebih konsisten dalam perjuang hak orang Melayu, Islam - Tun Faisal

PN lebih konsisten dalam perjuang hak orang Melayu, Islam – Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, orang Melayu kini lebih selesa dengan perjuangan Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO yang membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, parti komponen PN khususnya Pas dan Bersatu, dilihat sebagai gabungan yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam dalam arena politik negara.

Katanya, dalam tempoh dua tahun ini, hanya PN yang konsisten menyuarakan isu-isu berkaitan Islam dan Melayu, termasuk isu kalimah Allah, pelaksanaan syariah serta dasar yang melibatkan kepentingan umat Islam.

“Dari segi sokongan Melayu, ramai yang telah beralih kepada PN. Namun, sama ada mereka lebih cenderung kepada Pas atau Bersatu masih belum dapat dipastikan.

“Apa yang pasti, orang Mela­yu semakin selesa dengan pilihan lain selain UMNO, kerana mereka mendapati pendekatan PN lebih sesuai dengan aspirasi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

UMNO yang ditubuhkan sejak 1946 memainkan peranan penting dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu serta mempertahankan agama Islam.

Namun, kini ramai dikatakan beralih daripada UMNO kerana merasakan parti itu telah lari daripada perjuangannya.

Malah, keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan PH yang turut dianggotai DAP dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokongnya.

Kecenderungan itu diperca­yai menyebabkan penyokong UMNO kini bersama PN yang dikatakan konsisten dengan perjuangannya.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, dari segi sokongan pengundi Melayu-Islam, mereka melihat hanya Pas dan Bersatu yang benar-benar mempertahankan kepentingan serta hak mereka.

“Ini terbukti melalui pendirian tegas PN dalam isu-isu agama dan bangsa,” katanya.

Malah, katanya lagi, perubahan turut berlaku dalam kala­ngan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam yang mula kecewa dengan kerajaan sedia ada kerana kegagalan menunaikan janji.

Namun, jelas Tun Faisal lagi, mereka masih menilai sejauh mana PN boleh menawarkan alternatif yang lebih baik terutama dari segi kestabilan ekonomi dan politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN