BAGAN SERAI: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak meminta kerajaan melihat isu harga benih padi yang didakwa semakin mahal.
Pengerusinya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pesawah bimbang dengan harga benih padi yang kini mencecah RM58 bagi setiap 20 kilogram berbanding RM35 bagi berat yang sama yang dijual pengilang dan kadar itu tinggi sekaligus meningkatkan kos penanaman padi.
“PPN menyuarakan kebimbangan pesawah mengenai harga benih padi yang didakwa semakin mahal. Harganya di kilang RM58 bagi setiap 20kg, sedangkan sebelum ini RM35.
“Kerajaan ada menjelaskan harga benih padi ini telah ditetapkan di peringkat kilang, namun wujud unsur manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jika mengikut harga yang telah ditetapkan di pintu kilang, harga benih sepatutnya tidak menjadi isu.
“Namun kami menyedari ada pihak yang memainkan harga dan ini perlu dipantau dengan lebih ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di Dewan Komuniti Bagan Serai semalam.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Menurut Sham, sebagai usaha menangani masalah ini, kerajaan negeri Perak akan membuka loji benih baharu di bawah pengurusan PPN Perak, yang dijangka mula beroperasi selepas menerima kuota yang ditetapkan.
Menurutnya, loji tersebut dijangka dapat menstabilkan bekalan benih dan memastikan harga yang ditetapkan dapat dipatuhi.