WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump mengarahkan pemimpin kanan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk merancang pemotongan bajet pertahanan sebanyak lapan peratus setiap tahun atau kira-kira AS$290 bilion (RM1.2 trilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut memo yang dilaporkan The Washington Post, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth memberitahu Pentagon untuk merangka pengurangan perbelanjaan tersebut.
Belanjawan Pentagon untuk 2025 adalah kira-kira AS$850 bilion (RM3.76 trilion).
Menerusi memo Hegseth, cadangan pemotongan mesti dirangka sebelum 24 Februari dan perlu mengecualikan 17 kategori yang diminta oleh Trump, termasuk operasi di sempadan AS-Mexico serta pemodenan senjata nuklear dan pertahanan peluru berpandu.
Bagaimanapun, penggubal undang-undang daripada pelbagai parti bersetuju perbelanjaan besar diperlukan untuk menghalang ancaman, terutama dari China dan Russia.
Jika pemotongan itu dilaksanakan sepenuhnya, jumlah tersebut akan berkurang sebanyak puluhan bilion setiap tahun kepada sekitar AS$560 bilion (RM2.4 trilion) menjelang tempoh lima tahun.
Laporan itu tidak memberikan butiran mengenai pemotongan, namun The Washington Post sebelum ini mendakwa pekerja awam peringkat rendah, bukan anggota tentera, bakal menjadi sasaran.
Langkah itu berkemungkinan berdepan tentangan kuat daripada pihak tentera dan Kongres.
Namun, Trump dilaporkan memberi isyarat sokongan terhadap rang undang-undang Dewan Perwakilan yang akan meningkatkan bajet pertahanan sebanyak AS$100 bilion (RM443 bilion).
Perkembangan itu jelas bertentangan dengan langkah pemotongan seperti diarahkan oleh Hegseth.
Pengurangan yang dirancang itu juga bercanggah dengan gesaan Trump dan Hegseth supaya negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan perbelanjaan ketenteraan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setiap tahun.
Amerika Syarikat (AS) kini membelanjakan sekitar 3.4 peratus daripada KDNK untuk pertahanan, dan ambang lima peratus itu akan menjadi lebih sukar dicapai jika bajet Pentagon dikurangkan.– AFP











