Peniaga hadkan jualan santan

Peniaga hadkan jualan santan

NILAM Baiduri Azhari membungkus pati santan yang dipesan pelanggan di gerai jualannya di Pasar Besar Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Peniaga santan menjangkakan bekalan terutama pati santan untuk kegunaan semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri terpaksa dihadkan dan hanya dijual kepada pelanggan yang membuat tempahan.

Peniaga di Pasar Besar Teluk Intan, Nilam Baiduri Azhari berkata, kekurangan bekalan sejak kebekalangan ini disebabkan musim kelapa melawas di Bagan Datuk.

Menurutnya, hampir 70 peratus sumber kelapa dari Bagan Datuk diproses untuk santan di kedai jualannya dan purata dia memerlukan 2,000 biji kelapa sehari bagi menghasilkan kira-kira 100 kilogram (kg).

“Masalah kekurangan santan masih dialami oleh peniaga santan di sini disebabkan kekurangan kelapa dari Bagan Datuk.

“Kami jangkakan masalah ini akan berlanjutan sehingga Ramadan dan hari raya nanti. Untuk itu kami bercadang mengehadkan jualan hanya untuk pelanggan yang membuat tempahan semasa Ramadan dan menjelang hari raya nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, penghasilan kelapa di Bagan Datuk susut hampir 70 peratus susulan musim melawas atau buah tidak menjadi disebabkan cuaca tidak menentu.

Kekurangan kelapa menye­babkan peraih terpaksa membeli kelapa dari Indonesia.

Namun, kelapa dari Indonesia dikatakan kurang berkualiti, mudah rosak dan kualiti santan yang dihasilkan tidak setanding dengan kelapa tempatan.

Tambah Nilam, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli santan biasa iaitu santan yang dicampur dengan air, dijual pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram.

Katanya, harga santan biasa lebih murah berbanding pati santan yang dijual antara RM18 hingga RM20 sekilogram.

“Ramai pelanggan yang membeli santan biasa, mereka boleh terima penggunaan santan biasa ketika masalah kekurangan santan di pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN