Pengambilan guru dua kali setahun

Pengambilan guru dua kali setahun

Pengambilan guru baharu dua kali setahun akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan bermula tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengambilan guru baharu dua kali setahun akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan bermula tahun ini.

Ia antara tujuh strategi kementerian bagi mengatasi ma­salah kekurangan guru di sekolah-sekolah seluruh negara berbanding pengambilan sekali setahun sebelum ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pengambilan guru baharu ini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Per­khidmatan Pendidikan (SPP).

Katanya, pengambilan guru juga dilaksanakan menggunakan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon yang mempunyai kelayakan dan kemahiran dilantik.

Menurut beliau, pengambilan guru juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi ting­gi dari universiti swasta dan universiti luar negara.

“Selain itu, pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga dilaksanakan.

“Guru-guru lantikan CoS ini akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Setakat Disember tahun lalu, sejumlah 13,749 guru baharu lantikan tetap dan CoS ditempatkan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara selain 1,372 guru baharu pengambilan khas Sarawak.

Pada masa ini, sebanyak 97.62 peratus pengisian guru di sekolah rendah dan 95.16 peratus di sekolah menengah seluruh negara.

Azman berkata, KPM menggariskan tujuh strategi utama bagi menangani isu kekurangan guru di sekolah-sekolah KPM iaitu dengan mengadakan sesi libat urus antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, sebuah jawatankuasa bersama antara KPM dan KPT dibentuk bagi pengambilan guru dan meningkatkan jumlah pengambilan pelajar dalam bidang pendidikan.

“Turut dilaksanakan ialah perkongsian bagi peningkatan kualiti pendidikan serta menawarkan penajaan kepada pelajar dalam bidang pendidikan.

“Bilangan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) juga ditambah,” katanya.

Azman berkata, bagi langkah jangka panjang pula, KPM melaksanakan tindakan seperti pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.

Katanya, pengambilan ini adalah dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun lalu.

Jelas beliau, penubuhan Jawatankuasa Khas bagi Mengatasi Isu Kekurangan Guru yang merentas sektor yang akan bertindak menganalisis data kekurangan guru supaya tindakan lebih pantas dapat diambil.

“KPM telah mempertingkat sinergi dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan selain SPP untuk memastikan kecukupan guru serta meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah KPM,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN