KUBANG PASU: Nahas jalan raya yang sering berlaku melibatkan pelancong Malaysia ketika bercuti di Thailand mendorong kepada peningkatan kira-kira 50 peratus pembelian perlindungan insurans penuh.
Berbanding sebelum 2020, pengembara yang membawa kenderaan sendiri ke Thailand hanya mengambil insurans wajib (CI) yang disyaratkan oleh kerajaan Thailand untuk semua jenis kenderaan asing.
Pengarah UrusanGoThai.my Sdn. Bhd., Mohd. Shafiq Johari berkata, ketika itu hanya sekitar lima peratus pelancong Malaysia yang memasuki negara itu dengan memandu kenderaan mengambil insurans tambahan seperti insurans sukarela (VI), insurans perjalanan (TI) dan Extension 101 Insurance (E101).
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapat melihat peningkatan terhadap pembelian keempat-empat jenis insurans itu sehingga 50 peratus untuk pelancong melindungi diri mereka ketika berada di Thailand.
“Sebagai contoh, daripada 25,000 kenderaan yang menggunakan khidmat kami untuk ke Thailand dahulu, hanya 1,000 ke 2,000 yang mengambil perlindungan tambahan berbanding sekarang ada peningkatan sehingga lebih 7,000 kenderaan.
“Faktor ini didorong oleh tahap kesedaran yang semakin meningkat ekoran laporan berita nahas jalan raya melibatkan rakyat kita di sana dan kesukaran berurusan sekiranya hanya memiliki CI apabila terlibat kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
CI berperanan melindungi bil rawatan hospital akibat kemalangan, diikuti VI sebagai perlindungan pihak ketiga serta tambahan pampasan kecederaan dan TI melindungi diri sendiri yang memerlukan rawatan di hospital, manakala E101 adalah kesinambungan insurans sedia ada kenderaan di Malaysia.
Tambah Mohd. Shafiq, tahun lalu pihaknya menguruskan lebih 50 kemalangan jalan raya menimpa rakyat Malaysia di Thailand, terutama ketika musim cuti persekolahan atau cuti umum.
Katanya, kebanyakan kes melibatkan pelanggan yang mengambil insurans penuh tidak perlu mengeluarkan wang tambahan dalam jumlah besar bagi menanggung kos akibat kemalangan. – UTUSAN











