BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengawal Gaza dan menyifatkan pemindahan penduduknya sebagai ‘langkah luar biasa’.
Selasa lalu, Trump mencetuskan kemarahan dunia apabila mencadangkan Washington ‘mengambil alih’ kawalan Gaza dan mengosongkan penduduk Palestin dari wilayah itu.
Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, Netanyahu berkata, kedua-dua negara sekutu bersetuju dengan matlamat perang yang ditetapkan pihaknya sejak permulaan konflik 15 bulan menentang Hamas, termasuk memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.
“Presiden Trump tampil dengan visi yang sama sekali berbeza dan jauh lebih baik untuk Israel iaitu pendekatan ‘luar biasa’ serta kreatif yang sedang kami bincangkan (merujuk kepada rancangan Trump terhadap Gaza).
“Beliau bertekad untuk melaksanakannya dan saya percaya ia membuka banyak kemungkinan untuk kita,” katanya.
Meskipun menerima kritikan daripada sekutu antarabangsa terutama negara-negara Arab, Trump tetap mempertahankan rancangannya itu.
“Semenanjung Gaza akan diserahkan kepada AS oleh Israel selepas pertempuran berakhir.
“Tiada askar AS diperlukan! Kestabilan akan terjamin di rantau ini!,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.
Tidak lama kemudian, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan tentera untuk bersiap sedia bagi pemindahan penduduk Gaza secara ‘sukarela’, Khamis lalu.
“Lawatan dan perbincangan yang kami adakan dengan Presiden Trump ini akan membawa pencapaian besar yang boleh menjamin keselamatan Israel untuk generasi akan datang,” kata Netanyahu.
Jumaat lalu, Washington mengumumkan kelulusan penjualan lebih AS$7.4 bilion (RM35.3 bilion) dalam bentuk bom, peluru berpandu dan peralatan berkaitan ketenteraan kepada Israel.
Jabatan Negara AS meluluskan penjualan bom, kit panduan dan fius bernilai AS$6.75 bilion (RM32.2 bilion), selain AS$660 juta (RM3.1 bilion) bagi peluru berpandu Hellfire, menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA).
Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Hamas di Gaza pada Oktober 2023 sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan militan Palestin pada 7 Oktober.
Peperangan itu telah memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza iaitu wilayah pantai sempit di timur Mediterranean, namun gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak bulan lalu telah menghentikan konflik berdarah itu dan membolehkan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas. – AGENSI










