SUNGAI PETANI: Penurunan harga ikan kembung secara mendadak sehingga mencecah 70 sen sekilogram menyebabkan pendapatan nelayan yang mencari hasil laut itu merosot sehingga 50 peratus.
Ini berikutan, hasil bekalan itu menjadi lambakan terutama di Pasar Bisik Kuala Muda, di sini yang menyebabkan harga borong ikan bersaiz kecil itu terlalu murah.
Malah, disebabkan situasi itu, sebahagian nelayan ikan kembung tidak turun ke laut kerana merasakan pendapatan diterima tidak berbaloi dengan keringat dan kos yang perlu ditanggung berbanding yang menangkap ikan jenis lain.
Zulkarnain Abd. Hamid, 39, berkata, trend penurunan harga ikan kembung berlaku sejak seminggu lalu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tidak turun ke laut kelmarin.
Katanya, hasil tangkapan yang terlalu banyak sehingga mencecah dua tan dengan saiz ikan sebesar dua jari menyebabkan nelayan terpaksa menjual kepada peraih dengan harga serendah RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding RM4 hingga RM5 sekilogram.
“Kalau ikan yang kecil sangat, biasanya untuk buat baja baru kami jual dengan harga 70 sen sahaja, tetapi sebelum ini ikan kecil ini pun kami dapat jual dengan harga RM1.50.
“Jadi, saya buat keputusan untuk tidak ke laut sehingga Sabtu ini berikutan pendapatan yang diterima tidak berbaloi dengan kos operasi yang terpaksa ditanggung,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Sukhri Abu Bakar, 44, berkata, lambakan ikan kembung yang bersaiz kecil menyebabkan peraih berani bermain harga dan menawarkan harga sangat rendah.
“Alasan mereka, permintaan untuk ikan kembung sekarang sudah kurang, saiz ikan pula kecil jadi mereka tidak boleh bayar kepada nelayan dengan harga tinggi.
“Situasi ini jika dibiarkan akan menyebabkan pendapatan kami menjadi semakin merosot terutamanya menjelang Ramadan ini berikutan permintaan ikan kembung akan semakin berkurang,” ujarnya.
Sementara itu, pengunjung Pasar Bisik Kuala Muda, Halimah Md. Desa, 44, kecewa apabila tidak berpeluang membeli ikan dengan harga murah.
“Saya tengok di media sosial, ikan di sini banyak dan murah, jadi saya datang untuk beli buat kuah laksa tapi bila sampai tak ada. Ikan kembung tak banyak macam semalam, saya hanya dapat beli sekilogram sahaja dengan harga RM10,” katanya.-UTUSAN.