KUALA LUMPUR: Sebanyak RM20 bilion berjaya dijimatkan hasil usaha kerajaan mengurangkan kadar defisit hasil konsolidasi fiskal.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kadar defisit negara susut daripada 6.4 peratus pada tahun 2021 kepada 4.1 peratus bagi tahun 2024 hasil langkah-langkah penjimatan kerajaan.
“Pengurangan kadar defisit bermakna pinjaman baharu telah menurun daripada RM99.4 bilion pada tahun 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada 2024.
“Ia merupakan penjimatan melebihi RM20 bilion dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika sesi penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, pinjaman yang dibuat kerajaan adalah secara berhemat dan disalurkan kepada sektor pembangunan strategik seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
Katanya, langkah itu penting bagi merangsang pertumbuhan jangka panjang serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Dalam mengawal hutang negara, kerajaan tertakluk kepada had hutang yang ditetapkan mengikut undang-undang. Sehingga akhir Jun 2025, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM1.3 trilion, masih di bawah had statutori hutang yang dibenarkan,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit, liabiliti dan kebergantungan negara kepada hutang baharu.
Dalam perkembangan lain, Hui Ying turut memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap pembayar cukai adalah berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian tanpa mengira status individu atau syarikat terlibat.
Bagi pembayar cukai yang culas, tindakan termasuk guaman sivil, pemfailan saman, penghakiman, pelaksanaan penghakiman serta sekatan perjalanan telah dilaksanakan.
“Sehingga 31 Ogos 2025, LHDN berjaya mengurangkan sebanyak RM6.47 bilion daripada baki Akaun Belum Terima (ABT) melalui kutipan bayaran dan pelbagai tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Tambah beliau, keputusan hapus kira berjumlah RM337.14 juta pada tahun 2024 pula dilakukan mengikut prosedur ditetapkan melalui Pekeliling Perbendaharaan dan garis panduan LHDN.
“Langkah itu hanya terpakai dalam kes yang kutipannya tidak lagi boleh dilaksanakan seperti pembayar cukai yang telah meninggal dunia, bankrap atau syarikat yang telah digulung,” jelasnya. – UTUSAN










