Mayat Zayn Rayyan ada kesan cedera di telinga, tangan

Mayat Zayn Rayyan ada kesan cedera di telinga, tangan

IBU bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi perbicaraan kes anaiya dan abai kanak-kanak austisme, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu, mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di tepi tebing anak sungai dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan iaitu di telinga kiri dan tangan kanan.

Saksi kedua pendakwaan, Koperal Sulaimen Razak, 42, turut memberitahu, mayat kanak-kanak itu ditemukan berhampiran takungan air berdekatan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini.

“Mayat mangsa dijumpai di tepi tebing laluan sungai dengan takungan air di sebelah atas manakala mayat mangsa berada di bahagian bawah,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Terdahulu, saksi yang juga jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memberitahu, dia diarahkan untuk mengambil gambar tempat kejadian bersama pasukan forensik oleh pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail pada 11 Disember 2023.

Selain gambar mayat orang hilang, turut dikemukakan di mahkamah ialah gambar barang kes iaitu stokin yang ditemui di dalam longkang di tepi tebing anak sungai.

Bagaimanapun, sepanjang pro­siding berjalan, identiti mayat kanak-kanak yang ditemukan pihak polis tidak disahkan identitinya.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Sementara itu, saksi ketiga pendakwaan, Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, 35, berkata, beliau telah menerima laporan kehilangan seorang kanak-kanak austime sekitar pukul 5.45 petang pada 5 Disember 2023 daripada seorang wanita dikenali sebagai Ismanira.

“Menerusi laporan itu, pengadu menyatakan bahawa sekitar pukul 12 tengah hari, semasa menaiki tangga untuk pulang ke Blok R, dia menyedari anak lelakinya tiada di belakangnya.

“Pengadu turut memaklumkan bahawa anaknya memberontak kerana tidak diikuti kemahuannya. Selain itu, pengadu menjelaskan bahawa anak lelakinya adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan tidak boleh bertutur,” kata anggota polis dari Balai Polis Sri Damansara itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung hari ini.

Pada prosiding semalam, kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN