GAZA: Fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas sudah mula goyah ketika dua pihak berseteru dan pengantara menuju ke rundingan peringkat kedua.
Perjanjian ‘rapuh’ itu kini diuji apabila Israel didakwa melakukan pencabulan gencatan senjata, mendorong pejuang Hamas mengancam untuk menangguhkan proses pembebasan tebusan seterusnya.
Bahkan, hala tuju perjanjian itu juga semakin samar selepas Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan kontroversinya untuk Washington ‘mengambil alih’ wilayah terkepung berkenaan.
Idea Trump itu secara tidak langsung ‘memberi nyawa’ kepada Israel untuk melanggar perjanjian, dan mencapai matlamat perangnya kembali untuk menghapuskan Hamas dan menawan wilayah Gaza.
PINTU RUNDINGAN TERBUKA
Pejuang Hamas mengancam untuk menangguhkan pembebasan tebusan dalam pertukaran keenam yang dijadualkan pada Sabtu ini sehingga diberitahu kelak, dengan menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata.
Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida berkata, penyerahan tebusan akan ditangguhkan sehingga Israel mematuhi [erjanjian dan memberi pampasan sewajarnya terhadap tuntutan sebelum ini.
“Sepanjang tiga minggu lalu, kepemimpinan pejuang memantau pelanggaran musuh dan ketidakpatuhan mereka terhadap syarat perjanjian.
“Pelanggaran ini termasuk melengahkan kepulangan penduduk yang dipindahkan ke utara Gaza, menyasarkan mereka dengan tembakan dan serangan di pelbagai kawasan di Gaza, serta gagal membenarkan kemasukan bantuan seperti yang dipersetujui.
“Sedangkan, kumpulan pejuang sudah memenuhi semua kewajibannya,” kata Abu Obeida dalam hantaran di X, kelmarin.
Kumpulan pejuang juga menuduh Israel tidak membenarkan kemasukan khemah, rumah pasang siap, bahan bakar dan jentera pembersihan runtuhan ke dalam Gaza.
Ia juga mendakwa, Israel sengaja melengahkan kemasukan ubat-ubatan penting serta bekalan hospital.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu, Hamas menegaskan masih ada peluang untuk pembebasan tebusan diteruskan seperti yang dirancang.
Menurut kumpulan pejuang, langkah tersebut berfungsi sebagai amaran kepada Israel dan bertujuan menekan negara itu supaya mematuhi sepenuhnya syarat gencatan senjata.
“Dengan mengeluarkan kenyataan ini sebelum penyerahan tahanan dijadualkan, Hamas memberi masa kepada pengantara untuk memberi tekanan kepada penjajah agar memenuhi kewajibannya.
“Ini juga membiarkan pintu rundingan terbuka untuk pertukaran diteruskan seperti dirancang, dengan syarat pendudukan mematuhi perjanjian,” katanya.
PERKUKUH KEHADIRAN TENTERA
Susulan itu, Israel pula menyifatkan ancaman penangguhan sebagai pelanggaran sepenuhnya terhadap gencatan senjata.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan pasukan tentera untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan di Gaza.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kemudiannya mengumumkan peningkatan tahap kesiapsiagaan di selatan Israel dan menangguhkan cuti bagi askar tempur serta memperkukuh kehadiran tentera di kawasan tersebut.
Sementara itu, Trump menggesa Israel supaya membatalkan gencatan senjata dan ‘memberi lampu hijau’ untuk rejim meneruskan perang jika Hamas melaksanakan ancaman tersebut.
“Jika semua tebusan tidak dikembalikan menjelang Sabtu pukul 12 tengah hari, saya rasa itu adalah masa sesuai saya katakan untuk batal (gencatan senjata) dan segala perjanjian, ‘malapetaka neraka’ bakal tercetus,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, di Washington.
Israel dan Hamas kini berada dalam tempoh gencatan senjata selama enam minggu, di mana Hamas membebaskan puluhan tebusan Israel yang ditahan semasa serangan 7 Oktober 2023, sebagai pertukaran bagi hampir 2,000 tahanan Palestin.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan bulan lalu, kedua-dua pihak melaksanakan lima pertukaran tahanan yang menyaksikan 21 rakyat Israel dan lebih 730 tahanan Palestin dibebaskan.
Ancaman Hamas untuk menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya merupakan satu cabaran besar terhadap gencatan senjata rapuh, namun ia tidak semestinya menjamin kegagalan perjanjian tersebut.
Kerajaan Israel juga dilihat teragak-agak untuk menyambung semula rundingan dengan Hamas bagi melanjutkan gencatan senjata semasa, sementara ahli politik sayap kanan sudah pun menyeru supaya perang Gaza diteruskan.
Bahkan, cadangan Trump untuk menempatkan semua penduduk Palestin secara kekal dari Gaza dan menjadi wilayah itu milik AS menambahkan lagi ketidakpastian dalam proses tersebut.– CNN/ AL JAZEERA










