Lebih 200 IPIS beroperasi secara haram

Lebih 200 IPIS beroperasi secara haram

MOHD. FARED MOHD. KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 247 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di negeri ini dikesan beroperasi secara haram dan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, IPIS yang beroperasi tanpa berdaftar walaupun dalam pe­ringkat pendidikan awal kanak-kanak adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Katanya, pendaftaran de­ngan pihak MAINJ adalah bagi me­ngawal dan memastikan ins­titusi tersebut diurus tadbir de­ngan baik dalam menjaga ke­bajikan pelajar supaya diajar aki­dah yang berteraskan Ahli Sun­nah wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah dan syariah fiqh mazhab As-Syafie.

“Selain itu, ia juga bagi tujuan menjaga kebajikan kakitangan yang berkhidmat di IPIS tersebut dan menyediakan guru-guru yang bertauliah.

“Pihak kerajaan menghargai peranan semua individu atau organisasi bukan kerajaan dalam menyumbang perkembangan pendidikan Islam, namun institusi yang ditubuhkan wajib didaftarkan sebagaimana kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 229 IPIS telah berdaftar de­ngan MAINJ merangkumi 40 Sekolah Rendah Islam Swasta (SRIS), Sekolah Menengah Islam Swasta (10), Maahad Tahfiz Swasta (149), Madrasah Pondok Swasta (22) dan Madrasah Malabar Johor (8).

Mohd. Fared berkata, terdapat 25 IPIS yang sedang melengkapkan proses pendaftaran dan 247 lagi belum memulakan proses berkenaan.

“Pendaftaran boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) di seluruh negeri. Adalah menjadi tanggungjawab individu atau organisasi bukan kerajaan untuk mematuhi peraturan ini demi menjaga kesucian agama Islam yang menjadi tanggungjawab semua pihak,” katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi menambah baik sistem pendidikan Islam me­rangkumi pemerkasaan enakmen dan undang-undang, kebajikan serta latihan pengajar dan menaik taraf prasarana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN