Kerajaan digesa tangguh hukuman gantung Pannir Selvam di Singapura - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa tangguh hukuman gantung Pannir Selvam di Singapura

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa campur tangan berhubung hukuman mati terhadap rakyat Malaysia, Pannir Selvam di Singapura.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kerajaan perlu memohon untuk menangguhkan hukuman mati memandangkan kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, pada 16 Februari lalu, keluarga Pannir telah menerima notis hukuman mati yang akan berjalan pada Khamis ini.

“Kami berpendapat bahawa Pannir Selvam merupakan seorang keldai dadah dan tidak patut digantung mati sedangkan sindiket dadah di luar masih bebas dan barangkali sedang menyusun strategi baharu untuk merekrut mangsa dari Malaysia bagi membantu mereka membawa bungkusan dadah merentas sempadan tanpa mengetahui kandungannya.

“Memandangkan maklumat dan kerjasama yang telah diberikan oleh Pannir mustahak dan penting dalam proses siasatan di Malaysia maka kami merayu agar negara Singapura tidak melaksanakan hukuman mati terhadap Pannir.

“Kami juga berharap agar Pannir dibawa pulang ke Malaysia untuk meneruskan pemenjaraan beliau di sini supaya beliau dapat memberi maklumat dan memudahkan siasatan kes ini,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir pada sidang akhbar itu antaranya AI Malaysia, Amnesty International Malaysia dan Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia (ADPAN), Sebaran Kasih, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR), Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan Hayat.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, meskipun Pannir telah memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat penting kepada pihak kerajaan Singapura, namun beliau tidak diberikan ‘Certificate of Substantive Assistance’ bagi membolehkan hukuman itu ditangguhkan pada Khamis ini.

Jelasnya, sijil tersebut adalah satu pengiktirafan oleh pihak pendakwa raya di Singapura bahawa tertuduh telah bekerjasama untuk memberi maklumat penting dalam siasatan kes pengedaran dadah di Singapura.

Pada 2014, Pannir, 27, telah ditahan di checkpoint Woodlands, Singapura.

Dia diberikan sebuah pakej oleh seorang warganegara Malaysia dengan sebuah bungkusan yang dikatakan mengandungi ubatan yang perlu diserahkan kepada seorang warga Singapura apabila sampai di sana.

Bagaimanapun, Pannir telahpun menafikan dengan tegasnya bahawa dia mempunyai pengetahuan bahawa bungkusan tersebut mengandungi 51.48g heroin dan ditahan di Singapura.

Pada 2017, dia dikenakan hukuman mati dan dijangkan menjalani hukuman gantung pada bila-bila masa selepas rayuan terakhirnya ditolak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN