KOTA KINABALU: Seramai 113,282 warga asing di Sabah telah berjaya didaftar setakat ini melalui inisiatif pendigitalan data warga asing oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka terdiri daripada golongan yang berstatus warga asing dan bekerja di Sabah.
Saifuddin berkata, fasa awal inisiatif ini tertumpu kepada sektor perladangan, dan ia akan diperluaskan ke sektor lain seperti perkilangan dan perlombongan.
Beliau berkata, sistem ini merekodkan maklumat biometrik yang lengkap dan tepat seperti gambar dan cap jari serta maklumat-maklumat yang lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ia akhirnya akan memudahkan pemantauan, pengesanan dan pengurusan data warga asing secara real time oleh kerajaan negeri Sabah.
“Kami juga bersetuju untuk memudahkan proses pendataan digital warga asing selepas satu mesyuarat jawatankuasa khas status kewarganegaraan peringkat induk negeri Sabah pada hari ini.
“Kami akan memoratoriumkan penguatkuasaan warga asing bagi tujuan memberi ruang kepada mereka untuk mendaftar di bawah inisiatif ini. Ini adalah untuk mengelak berlakunya pertembungan, kerana di satu sisi hendak daftar, manakala di satu sisi lain pula kita buat penguatkuasaan.
“Sebab kita sangat memerlukan data yang tepat dan boleh dipercayai untuk mengadakan polisi yang lebih komprehensif terhadap isu keberadaan warga asing di negara kita,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut bersama Ketua Menteri Sabah di sini hari ini.
Saifuddin turut menjelaskan bahawa aktiviti pendataan digital warga asing ini tak ada kena mengena dengan isu kewarganegaraan ataupun pemberian pemastautin tetap.
“Yang kita pertimbangkan dalam jawatankuasa ini adalah permohonan-permohonan kewarganegaraan tertentu yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.-UTUSAN.










