TEL AVIV: Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) didakwa secara senyap membantu Israel mengesan lebih ramai pejuang di Gaza dan Lubnan, melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan pengkomputeran.
Namun, jumlah korban dalam kalangan orang awam juga meningkat dengan ketara, menimbulkan kebimbangan bahawa teknologi itu menyumbang kepada kematian individu yang tidak bersalah.
Selama bertahun-tahun, angkatan tentera mengupah syarikat swasta untuk membangunkan senjata autonomi khas.
Peperangan terkini Israel menandakan contoh utama, di mana model AI komersial yang dibangunkan AS, digunakan secara aktif dalam peperangan.
Tentera Israel menggunakan AI untuk menganalisis sejumlah besar maklumat risikan, komunikasi yang dipintas dan data pemantauan bagi mengesan pergerakan musuh.
Menurut siasatan, penggunaan teknologi Microsoft dan OpenAI oleh Israel meningkat ketara selepas serangan 7 Oktober 2023.
Siasatan turut mendedahkan butiran baharu mengenai sistem AI memilih sasaran serta kemungkinan kesilapan yang boleh berlaku, termasuk kesalahan data atau algoritma yang cacat.
Ia berdasarkan dokumen dalaman, data dan temu bual eksklusif dengan pegawai Israel serta pekerja syarikat.
Laporan itu mendedahkan, AI kini menjadi ‘senjata utama’ Israel dalam peperangan, yang digelar sebagai ‘pengubah permainan’ dalam mengenal pasti sasaran.
“Ini adalah kali pertama kita mendapat pengesahan bahawa model AI komersial digunakan secara langsung dalam peperangan.
“Implikasi terhadap peranan teknologi dalam peperangan yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang amat besar,” kata Ketua Saintis AI di AI Now Institute, Heidy Khlaaf.
Gergasi teknologi AS, Microsoft dikatakan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tentera Israel sejak beberapa dekad lalu.
Sejak perang bermula, lebih 70,000 orang terbunuh di Gaza dan Lubnan, dengan hampir 70 peratus bangunan di wilayah terkepung musnah.- AP










