PUTRAJAYA: Tanah di Duta Enclave seluas 106.542 hektar tidak boleh dikembalikan kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, Semantan Estate tidak berhak mendapatkan semula tanah tersebut berdasarkan Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Namun, kata beliau, berdasarkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, Semantan Estate berhak mendapat pampasan berdasarkan nilai tanah pada masa pengambilan pada tahun Disember 1956.
Katanya, syarikat yang kini berada dalam likuidasi itu juga berhak mendapat ganti rugi dan keuntungan Mesne iaitu ganti rugi yang perlu dibayar kepada pemilik sah harta oleh seseorang yang mendudukinya tanpa kebenaran.
“Semantan Estate layak mendapat keuntungan Mesne yang dikira dari tarikh tanah tersebut diambil oleh kerajaan pada 1956 sehingga tarikh mahkamah ini membuat keputusan,” katanya dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rayuan, di sini semalam.
Bagaimanapun, peguam Datuk Cyrus Dass yang mewakili Semantan Estate menghujahkan Duta Enclave itu perlu dipulangkan semula kepada Semantan Estate dan kerajaan perlu membayar keuntungan Mesne.
Mahkamah turut dimaklumkan pengiraan bagi keuntungan Mesne perlu mengambil kira harga pasaran semasa bermula dari 1956 sehingga kini.
“Sebagai contoh, harga pasaran semasa tanah pada 2024 akan didarab dengan kadar pulangan keuntungan (rate of return profit) dan ia akan menjadi keuntungan Mesne pada tahun tersebut,” kata peguam itu.
Sehubungan itu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan pertikaian tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) akan diputuskan pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Pada 7 November 2024, pihak-pihak telah diminta oleh Mahkamah Rayuan untuk berhujah mengenai kiraan nilai ganti rugi yang perlu diberikan kepada Semantan Estate (sekiranya mahkamah berpihak kepada syarikat terbabit), sama ada mengikut nilai harga semasa pasaran atau mengikut nilai tanah tersebut diambil secara salah oleh kerajaan pada 1956.
Semantan Estate diminta untuk berhujah berhubung persoalan sama ada Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relif Spesifik 1950 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 13 (Hak Terhadap Harta) Perlembagaan Persekutuan.
Pihak kerajaan merayu kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 Ogos 2024 yang membenarkan saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk memindah milik dan mendaftarkan syarikat itu sebagai pemilik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan.
Semantan Estate pula merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Oktober 2021 yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan tanah seluas 106.542 hektar yang turut dikenali sebagai Duta Enclave.
Syarikat itu turut memohon perintah pindah milik tersebut dikuatkuasakan sebagaimana diperintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.
Pada prosiding terdahulu, wakil pelikuidasi Semantan Estate menyatakan nilai terkini tanah yang dipertikaikan ialah RM12 bilion manakala kerajaan sewaktu pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri) mencadangkan ganti rugi sebanyak RM5 bilion.










