PETALING JAYA: Dua individu bergelar datuk antara empat yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Difahamkan tangkapan keempat-empat individu terbabit dibuat bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Turut difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Sumber memaklumkan, keempat-empat individu itu ditahan minggu lalu dan perintah reman telah dikeluarkan di Mahkamah Putrajaya.
Katanya, penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)
“Perintah reman tersebut telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha selama lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu.
“Seorang lagi diberi reman selama tiga hari dan dilepaskan hari ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM.










