Caruman KWSP pekerja asing dua peratus – PM

Caruman KWSP pekerja asing dua peratus – PM

ANWAR Ibrahim menggaul Yee Sang semasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua majikan yang menggaji pekerja asing perlu membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet minggu ini untuk perbincangan lebih lanjut.

Katanya, kadar yang sangat rendah itu diyakini tidak membebankan majikan dan kerajaan akan terus menilai situasi semasa sebelum membuat sebarang perubahan.

“Kabinet sudah mempertimbangkan rayuan daripada dewan perniagaan. Jadi kita kekalkan pada kadar dua peratus yang sangat minimum.

“Terdapat kebimbangan ia akan me­ningkat, bermula pada dua peratus kemudian naik kepada empat peratus dan enam peratus.

“Kita buat keputusan untuk mengekalkan kadar tersebut buat sementara waktu sehingga keadaan bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini semalam.

Sebelum ini, cadangan asal ditetapkan pada kadar 12 peratus bagi golongan pekerja asing berkenaan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, tahun lalu, Anwar berkata, kerajaan berca­dang mewajibkan semua pe­­kerja bukan warga negara mencarum KWSP dan ia akan dilaksanakan secara berfasa.

Sementara itu, mengulas cadangan membuka pengli­batan negara-negara luar da­lam Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk ASEAN (GCC), Anwar berkata, kerajaan akan memperhalusi cadangan tersebut.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, katanya, Malaysia akan mempertimbang untuk membuka penyertaan kepada negara lain termasuk dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Kita sedang mempertimbangkan untuk melibatkan negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah pada sidang kemuncak ini.

“Namun, fokus kita tentunya adalah negara-negara ASEAN dan di rantau ini,” katanya.

Malaysia secara rasmi me­ngambil alih jawatan Pe­ngerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari lalu, kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×