‘Agih subsidi dengan cekap’

Agih subsidi dengan cekap – Sultan Ibrahim

subsidi
SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih cekap dalam mengagihkan subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar layak.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, agihan tersebut perlu dilakukan secara telus dan adil tanpa berlaku sebarang penyelewengan atau ketirisan.

“Pengagihan subsidi yang berkesan bukan sahaja melibatkan pengurusan kewangan negara yang baik tetapi juga perlu memastikan bahawa bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15, semalam.

Sultan Ibrahim turut menegaskan, hak dan kedaulatan negara mesti dipertahankan tidak kira betapa kecilnya kawasan itu walau sekadar batu karang di tengah lautan.

Baginda mahu kerajaan perlu bijak menguruskan hubungan diplomatik dengan semua pihak termasuk negara jiran dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau serta sempadan negara.

“Malaysia perlu mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang, dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga mahu Malaysia tegas dalam mendukung prinsip keamanan serta menentang segala bentuk keganasan khususnya dalam meng­hadapi konflik antarabangsa yang sedang berlaku.

“Perang yang sedang berlaku di Gaza harus segera dihentikan dan keadilan berdasarkan undang-undang antarabangsa perlu segera dilaksanakan,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Sultan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan untuk menunjukkan keupayaan dalam memim­pin serta menentukan hala tuju ASEAN.

Titah baginda, langkah tersebut adalah penting untuk memperkukuhkan kerjasama dengan negara-negara serantau serta memastikan Malaysia te­rus menjadi contoh dalam memim­pin ASEAN ke arah kedamaian dan kestabilan serantau.

“Malaysia dengan kepemimpinan yang matang dan berwawasan, mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju ASEAN pada tahun ini.

“Kerjasama erat dengan ne­gara-negara ASEAN adalah pen­ting untuk mencapai matlamat bersama, iaitu keamanan dan kemakmuran serantau,” titah baginda.

Seri Paduka juga mengingatkan Ahli-ahli Parlimen agar tidak menggunakan persidangan Dewan Rakyat sebagai saluran untuk memaki hamun atau menabur fitnah kepada seteru politik mereka.

Tegas baginda, Parlimen bukanlah tempat untuk bertegak urat tetapi ia adalah tempat untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Baginda bertitah, Ahli-ahli Parlimen hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.

Sultan Ibrahim menegaskan tindakan bermain politik atas setiap isu perlu dihentikan, selain sikap mementingkan parti atau kelompok sendiri yang juga perlu dinoktahkan.

“Saya perhatikan, dalam persidangan Dewan pada tahun lalu, Ahli-ahli Dewan telah ba­nyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua.

“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-ma­sing,” titah baginda.

Sementara itu, Seri Paduka memuji peranan yang dimain­kan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara.

Menyentuh masalah dihadapi pekebun kecil dan golongan petani, Seri Paduka menitahkan kerajaan membantu golongan tersebut bagi memastikan keterjaminan makanan di dalam ne­gara, selain membantu kumpulan penternak dan nelayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN