SEGAMAT: Sebanyak 76 buah keluarga di Parlimen Sekijang di daerah ini yang terkesan akibat bencana ribut pada awal November lalu di DUN Pemanis menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM76,000.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Sekijang, Dr. Zaliha Mustafa, detiap keluarga menerima RM1,000 sebagai sokongan kewangan untuk membantu meringankan beban mereka akibat bencana yang melanda.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan MADANI bukan sahaja komited dalam mempercepatkan bantuan kepada mangsa bencana, tetapi juga dalam memperkukuhkan sistem amaran awal, usaha mitigasi serta kesiapsiagaan menghadapi fenomena cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
“Saya turun padang sejurus selepas kejadian ribut bagi menilai sendiri keadaan mangsa serta mendengar keluhan mereka.
“Saya juga segera berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan menteri bertanggungjawab kepada Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), bagi memastikan bantuan ini dapat disalurkan secepat mungkin,” katanya ditemui di majlis penyerahan bantuan berkenaan di Dewan Komuniti, Pejabat Daerah Segamat, hari ini.
Dalam majlis yang sama, beliau turut berkongsi bahawa hasil perbincangan bersama Ahmad Zahid pada November lalu mengenai garis panduan BWI oleh NADMA telah dikemas kini bagi meluaskan skop penerima bantuan.
“Sebelum ini, bantuan hanya diberikan kepada mangsa banjir. Kini, ia turut merangkumi mangsa bencana ribut dan banjir kilat. Ini adalah langkah proaktif kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan.
“Saya berharap agar inisiatif ini dapat mengurangkan beban penerima serta memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan mereka.
“Memandangkan kejadian ribut dan bencana alam semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim, saya turut menyeru masyarakat supaya lebih berwaspada dan peka terhadap amaran cuaca,” katanya. – UTUSAN










