6 maut, tujuh cedera kebakaran tapak pembinaan hotel di Busan

6 maut, tujuh cedera kebakaran tapak pembinaan hotel di Busan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Enam maut manakala tujuh lagi cedera selepas kebakaran tercetus di tapak pembinaan hotel milik Kumpulan Banyan di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan, hari ini.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran bermula kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan) di Hotel Banyan Tree, menyebabkan 13 individu terperangkap di tingkat 12 bangunan tersebut.

Enam mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan ringan seperti sesak nafas akibat terhidu asap.

Seramai 100 individu turut dipindahkan sebagai langkah keselamatan, menurut Ibu Pejabat Bomba Busan.

Beberapa pekerja dilaporkan berada di lokasi ketika kejadian berlaku, lapor media tempatan.

Sehingga kini, pihak bomba masih berusaha untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Menurut jabatan bomba, kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah tapak pembinaan, tempat bahan penebat haba disimpan.

Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, mengarahkan kementerian berkaitan untuk menggerakkan sepenuhnya semua anggota serta peralatan yang ada bagi memadam kebakaran.

“Segala usaha perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang korban jiwa dalam operasi mencari dan menyelamat, selain memastikan keselamatan anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian berlaku hanya beberapa minggu selepas sebuah pesawat Air Busan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, yang memaksa 176 penumpang dipindahkan dan mengakibatkan tujuh individu cedera. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN