PETALING JAYA: Polis menahan pasangan suami isteri berkait kes penipuan berjumlah RM95,180 membabitkan isteri pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi berhubung tawaran menukar hukuman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan pasangan itu berusia lingkungan 20-an, pada pukul 10 malam semalam di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang.
“Kita akan memohon reman mereka di Mahkamah Kajang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut beliau, setakat ini pihak polis telah merakam keterangan tiga individu termasuk Afreena bagi membantu siasatan.
Polis sebelum ini menerima laporan yang dibuat Afreena berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 berkaitan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Hussein dilaporkan berkata, siasatan mendapati, mangsa pada Disember lalu telah berjumpa dengan suspek bagi membincangkan masalah yang dihadapi suaminya dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
“Suspek beberapa kali berjumpa dengan mangsa dan meyakinkannya mereka boleh membantu menyelesaikan masalah berkenan.
“Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dua akaun bank yang diberikan suspek, namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Afreena membuat laporan polis kelmarin selepas mendakwa ditipu seorang individu membabitkan wang sebanyak RM95,180.
Menerusi hantaran di Instagram, Afreena turut menyatakan dia yakin kebenaran akan terungkap selepas laporan berkenaan dibuat.
Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya itu menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 yang diterima daripada rakan-rakan artis. – UTUSAN











