PETALING JAYA: Seorang lelaki maut, empat lagi cedera ringan dilanggar komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selepas menceroboh kawasan landasan di KM 34.734 antara Teluk Pulai-Klang dalam kejadian pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.39 pagi ketika tren berkenaan yang membawa 200 penumpang berlepas dari Stesen Jalan Kastam, terlanggar kesemua lelaki berkenaan yang menceroboh masuk ke kawasan landasan.
KTMB dalam kenyataan berkata, akibat kejadian itu, tren berkenaan mengalami kerosakan dan menyebabkan kelewatan perjalanan melebihi 60 minit.
Jelasnya, mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dan siasatan lanjut kes akan dijalan oleh pihak berkuasa.
Sementara para penumpang terjejas telah dibawa ke Stesen Klang diiringi angota polis dan kakitangan KTMB menaiki bas perantara untuk ke Stesen Subang Jaya.
“Lokomotif bantuan telah dihantar untuk membawa tren komuter yang terjejas bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan mayat dilakukan agar perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.
“Para penumpang yang terjejas untuk tren berikutnya juga telah dibawa menaiki bas perantara percuma yang disediakan ke Stesen Subang Jaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha menegaskan, landasan kereta api adalah kawasan larangan dan penceroboh boleh dikenakan denda sebanyak RM500 di bawah Seksyen 126 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. – UTUSAN










