MOSCOW: Russia mendakwa pasukannya berjaya menguasai dua lagi penempatan di wilayah Donetsk, timur Ukraine, dalam kemaraan berterusan ke arah Barat.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, pasukannya kini menguasai perkampungan Petropavlivka, terletak di antara bandar Pokrovsk dan Kurakhove, kawasan yang menjadi tumpuan pertempuran sengit beberapa bulan kebelakangan ini.
Selain itu, Vremivka, satu daripada beberapa pekan kecil di bahagian selatan Donetsk, turut berada dalam kawalan negara itu.
Russia juga melaporkan menyerang kemudahan ketenteraan Ukraine menggunakan senjata berketepatan tinggi sebagai tindak balas terhadap serangan Kyiv di wilayah Belgorod, selatan negara yang menggunakan peluru berpandu buatan Amerika Syarikat (AS), ATACMS.
Bagaimanapun, agensi berita Reuters tidak dapat mengesahkan laporan medan perang daripada kedua-dua pihak dalam konflik yang kini memasuki bulan 34 bulan.
Kenyataan tentera Ukraine tidak menyebut tentang perubahan kawalan terhadap kedua-dua perkampungan itu, tetapi mengakui pertempuran sengit berlaku berhampiran bandar utama Pokrovsk.
Blog popular Ukraine, Deep State, yang mendokumentasikan perubahan kawalan berdasarkan sumber terbuka, mengesahkan Petropavlivka dan Vremivka kini berada dalam kawalan Russia, namun dinafikan jurucakap pasukan tentera Ukraine di Khortytsya, Viktor Trehubov.
“Tiada perkembangan di Pokrovsk, keadaan adalah stabil. Musuh tidak berada di sana,” katanya menerusi siaran televisyen nasional.
Pokrovsk merupakan hab pengangkutan dan lokasi lombong arang tunggal di Ukraine, dengan operasinya dihentikan minggu ini.
Selepas gagal menawan ibu negara Kyiv dalam beberapa minggu selepas pencerobohan Februari 2022, tentera Rusia kini memberi tumpuan untuk menawan sepenuhnya kawasan Donbas yang merangkumi wilayah Donetsk dan Luhansk.
Pada masa ini, Rusia menguasai kira-kira 20 peratus daripada wilayah Ukraine. – AGENSI











