PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang ramai secara rambang di tempat awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, pihak polis hanya akan menjalankan pemeriksaan terhadap telefon bimbit orang yang disyaki dalam sesuatu kes.
“Maksudnya mesti ada maklumat, risikan atau syak wasangka yang munasabah yang menunjukkan seseorang individu telah melakukan kesalahan atau jenayah. Ini menyebabkan individu itu dicurigai.
“Ia (pemeriksaan) juga hanya akan dilakukan oleh pegawai berpangkat Inspektor ke atas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, sekiranya terdapat keperluan pihak polis memeriksa telefon bimbit terhadap orang disyaki, ia akan dilakukan mengikut undang-undang yang terpakai dan peruntukan Perlembagaan sedia ada.
Tambah beliau, ia penting untuk memastikan anggota dan pegawai dapat menjalankan penugasan mereka dengan baik serta menghormati hak individu bagi mengekalkan kepercayaan awam.
Tambah Razarudin, kuasa untuk memeriksa telefon bimbit adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 23(1) Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 233 dan 249 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Kami juga ingin menekankan sekali lagi bahawa pemeriksaan hanya akan dijalankan berdasarkan syak wasangka yang munasabah atau risikan yang boleh dipercayai memastikan orang ramai memahami ini bukan satu tindakan sewenang-wenangnya.
“Untuk memastikan tiada sebarang perbuatan salah guna kuasa, hanya pegawai berpangkat Inspektor atau lebih tinggi diberi kuasa untuk memeriksa telefon bimbit selain saya memberi jaminan bahawa ia dilakukan dengan akauntabiliti dan secara profesional,” tegasnya.
Minggu lalu, Razarudin dilaporkan berkata, pihak polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit seseorang yang disyaki di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Tatacara Jenayah.
Menerusinya, pihak polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau sekiranya mendapat maklumat seseorang telah disyaki melakukan kesalahan.
Perkara tersebut juga dibenarkan berdasarkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 233 AKM 1998.
Ia bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang selain Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer termasuklah telefon bimbit.
Di bawah Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah yang memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer ketika membuat pemeriksaan ke atas seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah.
Seksyen 20(g) Akta Polis pula memberi kuasa pegawai polis untuk seseorang mempamerkan maklumat apabila diminta oleh pegawai berkenaan.
Selain itu, Seksyen 292 Kanun keseksaan boleh digunakan ketika memeriksa telefon bimbit sekiranya ketika pemeriksaan menjumpai bahan-bahan lucah dan ia merupakan suatu kesalahan boleh tangkap tanpa waran.
Kelmarin, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kenyataannya menegaskan pihak polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.
Oleh itu, Suhakam meminta supaya orang awam untuk cakna dengan hak asasi manusia, terutama ketika diberhentikan, disoal siasat mahu pun ditahan pihak polis.- UTUSAN









