HULU TERENGGANU: Kawasan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) Temir di Kampung Temir, di sini menjadi tarikan terbaharu kedatangan pelancong khususnya di daerah ini menerusi pakej serta produk pelancongan tempatan yang kreatif dan menarik.
Pengerusinya, Sauti Mohamad Nor berkata, walaupun baru dibuka 27 Disember lalu, ia berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung dalam kalangan komuniti setempat dan daerah lain.
“Perancangan untuk menghidup atau memajukan kawasan pesisir Sungai Temir telah lama difikirkan kerana mempunyai potensi pelancongan, cuma kita tiada modal dan sumber kewangan.
“Akhir tahun lepas ia menjadi kenyataan dan dapat direalisasikan setelah menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI),” katanya ditemui di CBT berkenaan, semalam.
Antara aktiviti tersedia di situ ialah menunggang kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali ATV, berkayak, meredah hutan Bukit Paloh dan melihat tuntung bertelur.
Musim tuntung bertelur antara Februari hingga Mei dan selain bulan itu, pengunjung masih berpeluang melihat haiwan berkenaan di Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paloh.
“Kami sedang merangka pelbagai pembangunan secara berperingkat di kawasan CBT Temir berkeluasan kira-kira 50 hektar ini bagi kemudahan pengunjung sekali gus meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN










