TAPAH: Pelaksanaan sistem laluan sehala sepanjang 1.2 kilometer di Tapah tanpa penggunaan lampu isyarat untuk mengatasi kesesakan lalu lintas memberi kesan terhadap aktiviti perniagaan di pekan tersebut.
Perubahan laluan itu menyebabkan masalah parkir dan pelanggan terpaksa meletakan kenderaan lebih jauh.
Peniaga yang terjejas mendakwa, kesan daripada pelaksanaan jalan sehala itu semakin dirasai apabila pelanggan semakin kurang dan perniagaan mereka terjejas teruk.
Peniaga berkata, sekiranya sistem laluan sehala itu berterusan, tidak dikaji semula atau ditambah baik, mereka terpaksa mengambil langkah akhir iaitu menutup premis yang sudah lama beroperasi atau berisiko diisytiharkan bankrap kerana bebanan hutang.
Seorang peniaga menjual dan membaiki basikal, di Jalan Bukit Baldwin, Chik Kwai Choy, 59, memberitahu, kesan pelaksanaan sistem laluan sehala itu cukup besar.
Menurutnya, sebelum ini dia boleh dapat keuntungan kasar kira-kira RM30,000 sebulan tetapi kini RM10,000 pun susah walaupun pelbagai promosi telah dilakukan termasuk pengurangan harga basikal termasuk kos membaiki.
“Malah, pernah beberapa hari tiada pelanggan datang ke kedai kerana sukar untuk meletakkan kenderaan atau singgah di kedai ini. Sepanjang lebih 10 tahun berniaga di sini tidak pernah saya mengalami sebegini teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia mengusahakan kedai itu bersama isteri dan seorang pekerja yang telah beberapa bulan tertangguh pembayaran gajinya.
Katanya, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanannya bagi memastikan perniagaannya itu terus hidup.
“Saya sudah tua, sukar untuk membuat pinjaman bank malah saya telah mencuba menjual kedai ini tetapi ramai pembeli yang tidak inginkannya kerana masalah kesesakan lalu lintas, keselamatan dan tempat meletakkan kenderaan yang berkurangan.
“Saya takut jika diisytiharkan bankrap tidak lama lagi kerana kegagalan menyelesaikan hutang,” katanya.
Bagi pemilik sebuah kedai runcit, C. Thanabalan, 53, yang sudah lebih 30 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata, jualannya merosot kira-kira 50 peratus ekoran sistem laluan sehala itu.
“Memang bagi orang berniaga untung rugi itu perkara biasa tetapi kesan pelaksanaan sistem laluan sehala ini benar-benar menjejaskan saya kerana kebanyakan pelanggan ialah penduduk taman perumahan sekitar sini termasuk pesakit dan kakitangan Hospital Tapah.
“Namun, apabila laluan empat lorong itu dijadikan dua lorong termasuk hanya dibenarkan pusingan U, kebanyakan pelanggan tidak dapat akses ke kedai ini. Biasanya saya boleh menjana pendapatan bersih perniagaan kira-kira RM6,000 sebulan tetapi kini hanya RM3,000 sahaja,” katanya.
Katanya, keuntungan bersih itu hanya untuk operasi kedai belum termasuk komitmennya terhadap keluarga yang merangkumi pinjaman perumahan, kenderaan, hutang peribadi dan perbelanjaan pendidikan anak-anak selain keperluan hidup semasa.
“Kira-kira 80 peratus barangan runcit tidak terjual malah roti yang dibekalkan oleh pembekal rosak kerana sudah tarikh luput,” ujarnya.











